
SHAH ALAM, 22 Januari 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh agenda kecemerlangan institusi melalui penganjuran Majlis Kemuncak Bulan Inovasi dan Kualiti 2025. Majlis bertemakan “Ledakan Kreativiti” ini merupakan manifestasi komitmen universiti dalam membugar budaya inovasi dan penambahbaikan kualiti secara berterusan dalam aspek akademik mahupun pentadbiran pada 22 Disember2025.
Majlis yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibbudin, FASc. Penganjuran edisi kali ini diterajui oleh Fakulti Farmasi UiTM Cawangan Selangor dengan kerjasama strategik Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA) serta UiTM Global.
Menurut Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib, inisiatif ini bukan sekadar keraian tahunan, malah merupakan platform strategik untuk menilai dan memperkasakan ekosistem kerja yang lebih cekap, telus, dan berimpak tinggi selaras dengan hala tuju Globally Renowned University (GRU).
Antara sorotan utama majlis adalah Pelancaran Dokumen Pengurusan dan Jaminan Kualiti UiTM oleh InQKA. Dokumen komprehensif ini berfungsi sebagai rujukan utama dalam pengurusan akreditasi dan penilaian akademik, sekali gus menjamin pematuhan piawaian kualiti yang ketat demi kepentingan pemegang taruh.


Kemuncak majlis menyaksikan penyampaian pelbagai anugerah berprestij bagi menghargai dedikasi warga UiTM, antaranya:
-
Anugerah Kualiti Naib Canselor (AKNC) 2025: Dinobatkan kepada Fakulti Pengurusan dan Perniagaan sebagai Juara Keseluruhan.
-
Anugerah Kecemerlangan Operasi (OE)
-
Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK)
-
Global Prominence Award
Penganjuran Majlis Kemuncak Bulan Inovasi dan Kualiti 2025 membuktikan bahawa transformasi penyampaian perkhidmatan di UiTM sentiasa dinamik. Kejayaan ini diharap menjadi pemangkin kepada seluruh warga universiti untuk terus menghasilkan solusi inovatif bagi mendepani cabaran pendidikan tinggi global secara mampan.
