
PERAK TENGAH, 9 Januari 2026 — Usaha memperkukuh daya tahan komuniti dari peringkat akar umbi terus diperkasakan melalui pelaksanaan Program Kesiapsiagaan Sekolah (School Preparedness Program) yang telah dianjurkan secara serentak di tiga buah sekolah menengah sekitar Perak Tengah pada 17 Disember 2025. Program ini melibatkan seramai 90 pelajar dari Sekolah Menengah Raja Dr. Nazrin Shah, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Iskandar dan Sekolah Menengah Kebangsaan Layang-Layang Kiri, dengan fokus utama meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan pelajar dalam menghadapi situasi bencana.
Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara UiTM MERCY Resilient Community Center (UMRCC), UiTM Cawangan Perak, MERCY Malaysia, Pejabat Pendidikan Daerah Perak Tengah, serta Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak. Kolaborasi ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kapasiti kesiapsiagaan bencana melalui pendidikan, latihan dan pencegahan awal.
Seramai lima penceramah dari UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar telah menjayakan sesi pengisian program, iaitu Ts. Mohd Nasurudin bin Hasbullah, Sr. Dr. Shahela binti Mamter, Sr. Mohd Esham bin Mamat, Ts. Azira Ibrahim dan Dr. Ezzat Fahmi bin Ahmad.
Program ini turut dibantu oleh 11 fasilitator Briged Sukarelawan UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah yang diketuai oleh Nur Sakeena binti Khairul Ezwan. Para peserta telah diberi pendedahan melalui ceramah, latihan berkumpulan, pembentangan dan simulasi yang merangkumi aspek kesedaran bencana, pengurusan risiko serta langkah-langkah tindakan pantas ketika kecemasan.
Secara keseluruhan, pelaksanaan Program Kesiapsiagaan Sekolah ini membuktikan peranan aktif UiTM dalam memimpin usaha meningkatkan literasi risiko bencana melalui pemindahan ilmu serta pengukuhan jaringan kerjasama antara institusi pendidikan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Inisiatif berterusan seperti ini diyakini mampu meningkatkan kesedaran pelajar, memupuk nilai kepimpinan dan seterusnya membentuk generasi muda yang lebih bersedia serta berperanan sebagai ejen keselamatan dan daya tahan dalam komuniti masing-masing.
