Mahasiswa UiTM Perkasa Pendidikan Matematik Melalui Modul Algebra Inovatif

PUNCAK ALAM, 18 Disember 2025 – Program pendidikan “Jangan Gabra, Cuma Algebra” anjuran mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam telah berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Utama 2, melibatkan seramai 37 pelajar Tingkatan 4. Program yang dijalankan dari 8.00 pagi hingga 2.00 petang ini bertujuan membantu pelajar menguasai asas algebra melalui modul pembelajaran yang dibangunkan sendiri oleh mahasiswa di bawah bimbingan Encik Mohammad Mubarrak.

Modul “Jangan Gabra, Cuma Algebra” tersebut direka bagi memudahkan pemahaman pelajar dan boleh dipelajari secara kendiri tanpa bimbingan guru. Keberkesanan modul dinilai melalui ujian pra dan pasca yang menunjukkan peningkatan ketara dalam pemahaman pelajar, malah beberapa pelajar menyatakan minat untuk memiliki modul berkenaan kerana ia membantu mereka memahami topik algebra yang sebelum ini dianggap mencabar.

Program ini turut menerima sokongan positif daripada para guru yang menyifatkan modul tersebut bukan sahaja sebagai bahan bantu mengajar yang berkesan, tetapi juga alat motivasi yang mendorong minat pelajar terhadap matematik. Usaha ini membuktikan bahawa pendekatan pengajaran inovatif mampu meningkatkan keyakinan dan prestasi akademik pelajar.

Kejayaan program ini diharapkan dapat membuka peluang untuk memperluaskan penggunaan modul “Jangan Gabra, Cuma Algebra” ke sekolah-sekolah lain agar lebih ramai pelajar dapat meraih manfaat daripada pendekatan pembelajaran yang kreatif dan mudah diakses ini.