
Negeri Sembilan, 3 Januari 2026 – Pelajar Semester 5 daripada program Pengajian Dietetik dan Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah berjaya menganjurkan Program FSK UiTM x TT Organics Community Initiative: Promoting Well-being & Sustainability Among Persons With Disabilities (Series II – UHS401) bertempat di Bengkel Seri Sembilan.
Program berteraskan komuniti ini bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dan kelestarian dalam kalangan golongan orang kurang upaya (OKU) melalui pelaksanaan aktiviti yang bersifat inklusif, interaktif dan berunsur pendidikan. Selain meningkatkan kesedaran terhadap kesihatan fizikal dan pemakanan seimbang, program ini turut memupuk nilai empati, semangat kerja berpasukan serta kepekaan sosial dalam kalangan pelajar UiTM.
Seramai 54 orang pelajar UiTM bersama pensyarah pengiring telah terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini, dengan penyertaan 56 orang penghuni Bengkel Seri Sembilan yang terdiri daripada individu OKU dengan pelbagai jenis kelainan. Program ini turut mendapat sokongan padu daripada Syarikat TT Organics selaku rakan strategik penganjur.


Majlis pembukaan telah berlangsung pada jam 9.00 pagi di Dewan Bengkel Seri Sembilan dan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Saudari Sarah Adybah Binti Mohd Yaaqub, selaku Pengarah Program. Majlis perasmian kemudiannya telah disempurnakan oleh Encik Abdul Razak Bin Abdul Latif, Presiden Persatuan Pemulihan Orang Kurang Upaya Negeri Sembilan.
Sepanjang program berlangsung, para pelajar UiTM telah mengendalikan pelbagai aktiviti komuniti termasuk sesi Chair Aerobic serta aktiviti interaktif seperti Pyramid Puzzle, The Poison Food Box, Balance Plate, NutriMatch dan Show Your Choice yang melibatkan penyertaan aktif penghuni bengkel. Selain itu, para pelajar turut terlibat dalam aktiviti kendalian TT Organics seperti kerja-kerja berkebun dan pembersihan kawasan persekitaran Bengkel Seri Sembilan.
Majlis penutup telah diadakan pada jam 1.00 petang dan disempurnakan dengan sesi fotografi serta rakaman video ucapan penghargaan kepada semua pihak dan penaja yang telah menyumbang kepada kejayaan program ini, antaranya LS Apparel, Extra Joss, Mighty White serta Lembaga Hasil Dalam Negeri Cawangan Seremban (LHDN).
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah mempunyai nilai kemanusiaan, kepekaan sosial dan kesedaran terhadap kelestarian komuniti.
