Hentikan Kitaran: Pelajar UiTM Terajui Program Advokasi Anti-Buli di Bawah ‘SULAM’

SUNGAI BULOH,6 Januari 2026 — Kempen kesedaran anti-buli bertajuk “STC: STOP THE CYCLE” telah dianjurkan di SK Saujana Utama, Sungai Buloh sebagai usaha memperkukuh pendidikan komuniti dan menangani isu buli yang semakin membimbangkan dalam kalangan murid sekolah pada 9 Disember 2025.

Program ini dijalankan di bawah inisiatif Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang disokong oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (MoHE), yang memberi peluang kepada pelajar daripada program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Penyiaran dan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Pengurusan Komunikasi & Dasar untuk mengaplikasikan pengetahuan akademik bagi menangani cabaran sosial sebenar.

Keberkesanan program ini turut diperkukuh melalui penglibatan pihak berkuasa. Seramai 100 murid SK Saujana Utama mengambil bahagian, dengan sesi ceramah utama disampaikan oleh Inspektor Azraai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, yang menekankan implikasi undang-undang dan disiplin berkaitan perlakuan buli.

Puan Nor Hazita binti Jaafar, Penolong Kanan Pentadbiran SK Saujana Utama, memuji usaha tersebut:
“Program STC ini memang sangat baik, lebih-lebih lagi apabila fenomena buli kini semakin berleluasa. Program ini dapat membantu murid-murid dalam mencegah tingkah laku tersebut.”

Bagi memastikan mesej ‘GAME OVER, BULLIES’ disampaikan dengan berkesan, beberapa aktiviti interaktif turut dijalankan, antaranya Lakon Situasi, Teka Silang Kata dan Broken Telephone, yang bertujuan melibatkan murid secara aktif sambil memberi pemahaman tentang cara mengenal pasti dan menangani buli.

Kempen ini telah berjaya dianjurkan oleh 16 pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam, yang menunjukkan komitmen tinggi dalam meningkatkan kesedaran komuniti. Secara keseluruhannya, program “STC: STOP THE CYCLE” di SK Saujana Utama berjaya menyampaikan mesej anti-buli melalui kaedah pembelajaran interaktif, sekali gus mencerminkan usaha berterusan UiTM dalam menyokong kesejahteraan dan keselamatan sosial di peringkat akar umbi.