
KOTA BELUD, SABAH, 24 November 2025 – Program Ziarah Kasih Madani @ Sabah yang disatukan dengan Perkongsian Ilmu Bersama Komuniti @ Sabah telah berjaya dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), UiTM Shah Alam bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Sabah, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi, Yayasan Perkasa Siswa (YPS) serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Sabah Sesi 2025/2026. Program ini berlangsung dengan penuh meriah dan memberi impak positif kepada masyarakat setempat di Kota Belud.
Program dimulakan dengan aktiviti Ziarah Kasih Pelajar B40 UiTM Sabah di sekitar negeri, bertujuan merapatkan silaturahim dan memberi sokongan kebajikan kepada pelajar serta keluarga B40. Timbalan Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, turut hadir menyampaikan sumbangan Bakul Rahmah yang mengandungi keperluan asas kepada penerima.

Inisiatif ini memperkukuh hubungan universiti dan komuniti serta memperluas elemen service learning dalam kalangan pelajar UiTM. Antara pengisian menarik ialah Kelas Vokal & Nyanyian yang dikendalikan oleh YBrs. Ts. Mohd Hafiz Askiak, Koordinator Pusat Kebudayaan UiTM Shah Alam. Peserta terdiri daripada pelajar sekolah, belia dan komuniti setempat yang mempelajari asas kawalan vokal, teknik pernafasan dan penghayatan lagu, sekaligus mencungkil bakat baharu serta meningkatkan keyakinan diri.
Program turut menampilkan Kelas Memasak Semarakkan Semangat Usahawan Kulinari, yang memberi pendedahan kepada teknik masakan asas dan penyediaan hidangan ringkas sebagai asas kepada peluang ekonomi, khususnya untuk suri rumah dan usahawan kecil.
Kerjasama strategik antara UiTM, JPT, KPT dan YPS membuktikan komitmen kerajaan dalam menyokong kebajikan, pendidikan dan pembangunan komuniti. Program ini bukan sahaja menyampaikan ilmu dan kemahiran, tetapi juga membina jaringan sokongan sosial, memperkasa komuniti dan menyemai semangat kebersamaan selaras dengan konsep Malaysia Madani.
Penulis: Mohammad Hazami bin Abdul Hamid
Editor: Nurul Huda Roslan
