UiTM Raub Jayakan Program StatHero Initiative Program (SHIP) Bersama Komuniti Pondok At-Tajuddin

Raub, 18 November 2025 – Persatuan Akademik Diploma Statistik (I-TECHQS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Raub telah berjaya melaksanakan StatHero Initiative Program (SHIP) pada Sabtu, 8 November 2025 bertempat di Pondok At-Tajuddin Raudhatus Solihin, Daerah Dong, Kampung Bukit Pampong, Raub.

Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang ini melibatkan penyertaan seramai 18 orang mahasiswa UiTM yang diketuai oleh Pengarah Program, Saudara Ashraf bin Jaafar, dengan bimbingan dua orang penasihat kelab iaitu Dr. Wan Zakiyattussariroh binti Wan Hussin dan Puan Azimah binti Suparlan.

Program SHIP dilaksanakan dengan objektif utama untuk menyampaikan sumbangan ilmu serta sokongan emosi kepada 17 orang pelajar Pondok At-Tajuddin yang berusia antara 8 hingga 18 tahun dan terdiri daripada golongan asnaf. Pelaksanaan program ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3: Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan serta SDG 4: Pendidikan Berkualiti, di samping memupuk nilai kepedulian sosial dan tanggungjawab sivik dalam kalangan mahasiswa.

Pengisian program dimulakan dengan sesi suai kenal sebelum diteruskan dengan perkongsian pengalaman oleh mantan Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Kampus Raub, Saudara Ameerul Husni bin Khairol Azman, yang berkongsi inspirasi dan motivasi kepada para pelajar pondok. Aktiviti diteruskan dengan senaman ringan serta pelbagai aktiviti interaktif berkonsepkan belajar sambil bermain seperti Blind Trust, Relay Together dan Puzzle Attack yang bertujuan merangsang pemikiran kritis, kerjasama dan keyakinan diri.

Majlis penutup diserikan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang aktiviti serta penyerahan sumbangan kepada pihak Pondok At-Tajuddin yang disempurnakan oleh Dr. Juhaida binti Ismail, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) UiTM Kampus Raub, diiringi Dr. Fairuz binti Shohaimay, Koordinator Kursus Prasiswazah.

Program ini menerima sambutan yang amat positif daripada para pelajar pondok, yang menunjukkan penglibatan aktif sepanjang program berlangsung. Dalam ucapan penutup, Ustaz Haji Shairan bin Ismail, Mudir Pondok At-Tajuddin Raudhatus Solihin, merakamkan penghargaan atas kunjungan dan sumbangan UiTM serta berharap jalinan kerjasama ini dapat diteruskan pada masa hadapan.

Pelaksanaan program seumpama ini mencerminkan komitmen UiTM dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah prihatin terhadap pembangunan masyarakat dan kesejahteraan komuniti setempat.