UiTM Perkukuh Semangat Kesukarelawanan Melalui Program Khidmat Komuniti @ Sabah di Pantai Shabandar

TUARAN, SABAH, 23 November 2025 – Program Khidmat Komuniti @ Sabah telah berlangsung dengan jayanya apabila lebih 40 sukarelawan daripada pemimpin pelajar UiTM Cawangan Sabah, termasuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Perwakilan Komander Kesatria, turun padang menyertai aktiviti pembersihan Pantai Shabandar, Tuaran. Program ini dianjurkan oleh MPP Sesi 2025/2026 bersama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Shah Alam dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Sabah, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Yayasan Perkasa Siswa (YPS).

Program ini bertujuan memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar, khususnya ekosistem pantai yang menjadi tarikan komuniti setempat dan pelancong. Aktiviti bermula seawal jam 8.00 pagi dengan sesi taklimat keselamatan, diikuti pembahagian kumpulan dan kawasan pembersihan. Para sukarelawan berjaya mengumpulkan pelbagai jenis sisa pepejal termasuk plastik, botol, jaring lusuh dan bahan buangan lain yang memberi kesan kepada hidupan laut. Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, malah memperkukuh hubungan mahasiswa UiTM dengan masyarakat setempat.

Menurut YBrs. Dr. Dg Ku Habibah Ag Kee, Timbalan Rektor HEP UiTM Sabah, program ini adalah sebahagian daripada komitmen UiTM untuk memperkasakan peranan mahasiswa sebagai ejen perubahan dalam isu sosial dan alam sekitar. “Kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar perlu ditanam sejak di bangku sekolah dan universiti. Program sebegini memberi peluang kepada pelajar untuk melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti yang memberi impak kepada komuniti,” katanya.

Program ini diakhiri dengan sesi bergambar dan penghargaan kepada semua sukarelawan. Penganjuran program sebegini diharap dapat diteruskan bagi memastikan kesinambungan usaha pemuliharaan alam sekitar di Negeri Sabah, selaras dengan agenda nasional memperkukuh pembangunan belia melalui kesukarelawanan berimpak tinggi.

Penulis:  Hannan Tasnim Binti Noh@Mohd Noh

Editor:  Nurul Huda Roslan