UiTM Perkukuh Jaringan Antarabangsa Melalui Program Mobiliti dan Lawatan Akademik ke UTP Surakarta

SHAH ALAM, 29 November 2025 – Seramai 17 orang Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) dan 5 orang pegawai pengiring yang terdiri daripada pelajar dan pensyarah UiTM telah menyertai Program Mobiliti dan Lawatan Akademik ke Universitas Tunas Pembangunan (UTP) Surakarta, Indonesia pada 24 hingga 28 November 2025. Program ini dianjurkan bagi memperkukuh jaringan antarabangsa melalui aktiviti akademik, kepimpinan pelajar, kolaborasi universiti serta pengayaan kebudayaan.

Bertemakan “VISIONARY LEADERSHIP: Global Innovation and Entrepreneurship Exchange”, program ini memberi fokus kepada pembangunan minda keusahawanan, inovasi dan pembentukan modal insan global selari dengan keperluan pendidikan abad ke-21.

Sepanjang program, delegasi UiTM terlibat dalam pelbagai sesi ilmiah dan budaya. Majlis pembukaan di UTP Surakarta menampilkan ucapan oleh Prof. Dr. Dra. Winarti M. Si, Rektor UTP, dan Dr. Nur Izzati Ab. Rani, Penasihat Program Mobiliti, diikuti sesi pertukaran cenderamata sebagai simbolik jalinan kerjasama. Antara pengisian utama ialah sesi perkongsian bertajuk “Business Education in the Era of Disruption: Innovation, Research, and Quality Standards” serta Parallel Sharing Sessions yang membincangkan topik inovasi, keusahawanan dan pengurusan organisasi pelajar.

Delegasi turut melaksanakan Program Khidmat Masyarakat “Learn, Grow, Inspire” di Panti Asuhan Misi Nusantara, di samping mengikuti bengkel kebudayaan seperti pembuatan batik tradisional, persembahan Wayang Orang Sriwedari, serta pembelajaran Gamelan. Lawatan ke lokasi ikonik seperti Pasar Gede Hardjonagoro, Muzium Keris Nusantara dan Tumurun Private Museum memperkayakan pemahaman peserta terhadap seni dan sejarah Jawa.

Program ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan strategik antara UiTM dan UTP, tetapi turut membuka ruang kolaborasi masa hadapan melibatkan penyelidikan, projek pelajar dan perkongsian profesional. UiTM komited untuk terus memperluas peluang mobiliti antarabangsa bagi melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan berwawasan global, selaras dengan aspirasi pendidikan tinggi negara.