UiTM Perak Perkukuh Jaringan Antarabangsan bersama Universiti di Acheh Melalui Program USR

ACEH, 30 November 2025 – Kumpulan Penyelidik Green Safe Cities (GreSafe) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak terus memperkasakan jaringan strategik di peringkat antarabangsa melalui penganjuran siri program akademik, penyelidikan dan kemasyarakatan bersama Universitas Syiah Kuala (USK) dan Universitas Al Muslim (Umuslim) di Aceh, Indonesia. Program yang berlangsung dari 22 hingga 26 November 2025 ini memberi tumpuan kepada kolaborasi akademik, pemindahan ilmu serta pembangunan komuniti setempat.

Program ini merangkumi empat komponen utama, iaitu Lawatan Penanda Aras Kampus Hijau, Seminar Green Safe Cities, perbincangan geran penyelidikan antarabangsa, dan Program University Social Responsibility (USR). Setiap komponen dirangka bagi menyokong agenda kelestarian universiti serta memperluas jaringan kerjasama antara UiTM dan institusi pengajian tinggi di Aceh.

Delegasi UiTM memulakan program melalui sesi penandaarasan di Greenmetric USK, yang memfokuskan kepada amalan pengurusan Kampus Hijau termasuk strategi pengurusan tenaga, mobiliti lestari, pengurangan karbon, pengurusan sisa dan air, pembuatan baja kompos, serta integrasi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dalam tadbir urus universiti. Perbincangan tersebut membuka peluang kepada pelan kerjasama penyelidikan bersama dan pembangunan bersama blueprint Kampus Hijau pada masa hadapan.

Lawatan berkenaan turut menyaksikan persetujuan awal bagi pemeteraian dua Memorandum of Agreement (MOA) melibatkan pertukaran geran penyelidikan antarabangsa antara UiTM dan dua universiti di Aceh. UiTM dan USK bersetuju dengan pertukaran geran bernilai RM7,500.00, manakala UiTM dan Umuslim mencapai persetujuan pertukaran geran bernilai RM10,000.00. Kedua-dua MOA ini dijangka ditandatangani pada Februari 2026 dan akan merangkumi penyelidikan rentas sempadan serta penerbitan akademik berimpak tinggi.

Selain itu, Seminar Green Safe Cities yang diadakan di Balee Keurukon, USK berjaya menghimpunkan seramai 100 peserta terdiri daripada pensyarah dan mahasiswa. Seminar ini menampilkan sesi pembentangan, perkongsian kepakaran dan perbincangan berkaitan pembangunan bandar selamat, konsep Kampus Hijau dan pemetaan SDG dalam komuniti. Penyelidik GreSafe UiTM turut berkongsi dapatan penyelidikan serta amalan terbaik dalam kelestarian bandar, yang seterusnya mengangkat reputasi UiTM dalam bidang penyelidikan hijau di peringkat antarabangsa.

Sebagai usaha memperkasa komuniti, delegasi GreSafe turut melaksanakan Program USR di Desa Gampong Dilib Lamteungoh, Sukamakmur, Aceh Besar. Program tersebut melibatkan penyerahan 8 unit lampu solar panel kepada rumah golongan asnaf serta agihan 22 bakul makanan kepada keluarga fakir miskin. Penerima turut diberikan taklimat asas mengenai tenaga solar dan kaedah penggunaan lampu solar bagi memastikan keselamatan serta keberkesanan penggunaannya. Kehadiran ketua kampung, jawatankuasa desa dan penduduk setempat menjadikan program ini lebih bermakna kerana memberi impak langsung dalam mengurangkan kos elektrik serta meningkatkan kesejahteraan hidup komuniti berpendapatan rendah.

Secara keseluruhannya, penganjuran program ini telah memperkukuh jaringan akademik antarabangsa, meningkatkan budaya penyelidikan, serta mengangkat reputasi UiTM dalam agenda kelestarian dan penglibatan global. Program ini turut memberi manfaat sosial yang signifikan kepada masyarakat setempat serta selaras dengan aspirasi UiTM 2025–2030 dalam memperkukuh keunggulan global dan komitmen terhadap pembangunan lestari.