UiTM Perak dan TELKOM University Perkukuh Kolaborasi Global Menerusi Pengajaran Kolaboratif

Tapah, Perak, 15 November 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak melalui Kolej Pengajian Seni Kreatif telah melaksanakan program Collaborative Group Collaborative Teaching (CGCT) bersama TELKOM University, Indonesia, melibatkan pakar industri dan akademia antarabangsa dalam usaha memperkukuh pemindahan ilmu dan amalan reka bentuk berimpak tinggi. Inisiatif ini menjadi platform strategik untuk menyatukan kepakaran akademik serta pengalaman industri semasa bagi memantapkan pengalaman pembelajaran pelajar.

Program berkenaan dilaksanakan melalui kursus Environmental Graphic Design (GDC553) di bawah pimpinan Ts. Dr. Nur Faizah Mohd Pahme, menghimpunkan tenaga pakar seperti Shani Nur Muhammad, Eldhie Rutfi Milega dan Sri Soedewi, selain melibatkan panel industri serta akademia antarabangsa dalam sesi perkongsian, bimbingan projek dan kolaborasi penilaian.

Usaha ini sejajar dengan aspirasi GRU 2025 UiTM melalui Strategic Trust 1: Quality Education, yang menekankan penyampaian pendidikan berkualiti dan berdaya saing selaras dengan Strategic Theme 3: Widened Access bagi memperluas keterhubungan global serta rangkaian kerjasama industri. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh penguasaan teori, malah menyuntik pengalaman pembelajaran autentik berasaskan projek sebenar untuk meningkatkan kompetensi profesional pelajar.

Menurut Ts. Dr. Nur Faizah, keberkesanan pendekatan pedagogi berkolaboratif ini dapat dilihat melalui peningkatan tahap penglibatan pelajar serta penjanaan idea reka bentuk berimpak tinggi yang berorientasikan pengguna.
“Kerjasama akademia dan industri antarabangsa ini memastikan pelajar UiTM lebih bersedia menghadapi cabaran global serta membentuk pereka bentuk yang peka terhadap isu kemasyarakatan dan kelestarian,” katanya.

UiTM komited untuk meneruskan kesinambungan program seumpama ini bersama lebih banyak rakan strategik antarabangsa, selaras dengan usaha melahirkan graduan global berdaya saing dalam bidang reka bentuk kreatif. Melalui pelaksanaan berterusan CGCT, UiTM terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi peneraju dalam membangunkan modal insan industri kreatif yang kompeten dan relevan dengan keperluan semasa.