
Kampung Budiman, 22 November 2025 – Pelajar tahun akhir Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah berjaya melancarkan inisiatif inovatif dikenali sebagai “Flood Guard Mobile App Budi@larm” dalam satu majlis yang berlangsung di Balai Raya Kampung Budiman, Klang, Selangor. Program ini dilaksanakan di bawah inisiatif Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman dan penglibatan komuniti.
Disokong oleh pihak universiti dan komuniti tempatan, program ini menggambarkan kerjasama strategik dalam meningkatkan pendidikan, merangsang pembangunan ekonomi setempat dan memupuk kelestarian komuniti. Inisiatif ini bukan sahaja mempamerkan aplikasi praktikal kemahiran akademik pelajar, malah memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat dalam usaha membina komuniti yang lebih selamat, mampan dan berdaya tahan.
Di bawah bimbingan Dr. Azlin binti Ahmad dan Ts. Dr. Surya Sumarni binti Hussein, program ini melibatkan 26 pelajar FSKM yang bekerja bersama komuniti Kampung Budiman, Meru. Menyedari kejadian banjir yang sering melanda kawasan tersebut, para pelajar telah mengambil langkah proaktif dengan membangunkan aplikasi mudah alih yang berfungsi menyediakan amaran awal serta memperkukuh keupayaan pengurusan banjir secara menyeluruh.
Projek ini merangkumi pembangunan prototaip tiang amaran yang dilengkapi sensor ultrasonik bagi memantau paras air secara berterusan. Sistem ini disambungkan kepada aplikasi Budi@larm yang membolehkan penduduk menerima notifikasi awal apabila paras air meningkat. Langkah ini dijangka membantu mengurangkan risiko kecederaan dan kerosakan harta benda, seterusnya meningkatkan tahap kesiapsiagaan komuniti.
Program ini menerima sambutan positif daripada penduduk Kampung Budiman. Hasil kaji selidik menunjukkan majoriti responden bersetuju bahawa program ini memberikan manfaat, nilai tambah dan impak positif melalui demonstrasi aplikasi Budi@larm, khususnya dalam meningkatkan kesedaran dan persediaan komuniti menghadapi situasi banjir. Majlis turut dihadiri tetamu kehormat, termasuk Encik Imran bin Kairon, Pengerusi JPKK Kampung Budiman.
Inisiatif ini merupakan salah satu usaha UiTM dalam memperkasa masyarakat melalui aktiviti kesukarelawanan dan perkongsian ilmu. Melalui program ini, pelajar berpeluang mengaplikasi pengetahuan secara praktikal dan melihat bagaimana kemahiran mereka dapat menyumbang kepada peningkatan taraf hidup masyarakat setempat. Usaha ini juga menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan.
UiTM komited untuk terus melahirkan graduan yang berpengetahuan, beretika dan bertanggungjawab sosial melalui penglibatan aktif dalam program komuniti berimpak tinggi seperti ini.
Penulis: Azlin Ahmad
Editor: FSKM News Team
