UiTM Cipta Malaysia Book Of Records Bagi Penyertaan Oku Teramai Dalam Aktiviti Mewarna Batik

SHAH ALAM, 20 Disember 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi melakar sejarah apabila dianugerahkan pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Peserta Orang Kurang Upaya (OKU) Teramai dalam Aktiviti Mewarna Batik melalui Program Ekspresi Seni Melalui Batik yang berlangsung dari 10 hingga 20 Disember 2025.

Pengiktirafan ini merupakan kejayaan besar hasil pelaksanaan aktiviti penghasilan karya batik secara bersepadu dan profesional. Proses bermula dengan kerja mencanting lebih 100 bingkai bersaiz 2×2 kaki bermotifkan Selangor oleh pelajar Program Pendidikan Seni dan Seni Reka, Fakulti Pendidikan UiTM. Aktiviti mewarna batik kemudiannya melibatkan penyertaan seramai 515 peserta OKU dari dalam dan luar Selangor, dibantu oleh para sukarelawan Kolej Casuarina UiTM di Pusat Membeli-belah AEON Shah Alam pada 15 Disember 2025.

Proses sentuhan akhir dijalankan di Studio Pendidikan Seni melalui teknik mematikan warna menggunakan sodium silikat serta basuhan kain batik. Kesemua karya kemudian dihantar untuk pembingkaian sebelum dipamer dan dijual bagi tujuan amal.

Program ini dianjurkan oleh Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU UiTM (U‑DeserveD), Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) dan Pusat Membeli-belah AEON Shah Alam, dengan kerjasama Fakulti Pendidikan dan Kolej Casuarina UiTM Puncak Alam.

Pra-pelancaran program telah diadakan pada 12 Disember 2025 sempena Sambutan Hari OKU UiTM bertemakan “Masyarakat Inklusif OKU, Kunci Kemajuan Sosial”, dirasmikan oleh Yang Berbahagia Datuk Ts Dr Shahrin bin Sahib@Sahibuddin, Naib Canselor UiTM. Majlis kemuncak dan penyerahan sijil MBOR pula disempurnakan oleh YB Puan Anfaal Saari, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bagi Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, pada 20 Disember 2025 di Dewan Merbau Runduk, UiTM Kampus Selayang bersempena Sambutan Hari OKU Negeri Selangor.

Hasil jualan amal daripada karya batik ini akan disalurkan kepada Tabung Cakna OKU UiTM dan YANIS bagi menyokong inisiatif kebajikan komuniti OKU.