Pemantapan Pembelajaran Berasaskan Industri: FPA ke Kilang SD Guthrie Kempas

MELAKA, 19 Disember 2025 – Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Jasin telah berjaya menganjurkan Lawatan Akademik ke Kilang Kelapa Sawit (KKS) Kempas, SD Guthrie sebagai sebahagian daripada pengisian pembelajaran bagi subjek Post Harvest Handling Technology and Management. Lawatan ini bertujuan meningkatkan pemahaman pelajar terhadap pengurusan pasca tuai secara holistik merangkumi aspek teknikal, kecekapan operasi dan kelestarian dalam industri sawit.

Seramai 42 pelajar terlibat dalam program ini, diiringi oleh tiga pensyarah kursus iaitu Ts Chm Dr Wan Zuraida Wan Mohd Zain, Dr Noer Hartini Dolhaji dan Puan Nur’ Amira Hamid, serta disokong oleh enam wakil industri daripada SD Guthrie Kempas. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan UiTM dan SD Guthrie dalam merapatkan jurang antara teori akademik dan amalan sebenar industri.

Program dimulakan dengan taklimat keselamatan dan ucapan alu-aluan oleh Puan Siti Sabiha binti Harun, Penolong Jurutera KKS Kempas, diikuti oleh ucapan perasmian daripada Tuan Mohd Fadzil bin Hasbullah, Pengurus Kilang. Sesi pengenalan rantaian pemprosesan minyak sawit kemudiannya disampaikan oleh Tuan Mohamed Aiman bin Mohamed Kamil, Penolong Pengurus Kanan, yang menekankan kepentingan kawalan pasca tuai dalam memastikan kualiti Buah Tandan Segar (BTS) dan kecekapan pengeluaran minyak sawit mentah (CPO).

Lawatan turut mendapat penghormatan kehadiran Hj. Wan Shahril Izan bin Wan Sobri, Ketua Jurutera Operasi Serantau, yang memperlihatkan komitmen pengurusan teknikal tertinggi KKS dalam menyokong pemindahan ilmu antara industri dan institusi pengajian tinggi.

Sepanjang lawatan teknikal ini, para pelajar berpeluang menyaksikan secara langsung keseluruhan operasi pengurusan pasca tuai, bermula daripada penerimaan BTS, proses perebusan, pengekstrakan minyak, penjernihan, hinggalah kepada pengurusan sisa dan hasil sampingan. Penjelasan mendalam turut diberikan mengenai pengurusan Palm Oil Mill Effluent (POME), kecekapan penggunaan tenaga serta pelaksanaan inisiatif kelestarian dan pengurangan jejak karbon selaras dengan piawaian industri.

Dari aspek akademik, pendedahan ini menyediakan nilai tambah yang signifikan untuk pelajar subjek Post Harvest Handling Technology and Management, khususnya dalam memahami hubungan antara keputusan pasca tuai di peringkat ladang dan kilang terhadap kualiti produk akhir, kos operasi, pematuhan standard serta kelestarian rantaian bekalan. Pelajar juga dapat mengaitkan konsep teori seperti kehilangan pasca tuai, degradasi kualiti dan pengurusan sisa dengan aplikasi sebenar di lapangan.

Bagi SD Guthrie, program ini berfungsi sebagai platform pemindahan ilmu dan pembangunan bakat masa hadapan, selain mengukuhkan imej syarikat sebagai peneraju dalam industri sawit mampan yang komited terhadap pembangunan modal insan tempatan. Kolaborasi ini turut membuka peluang kepada jalinan strategik jangka panjang melibatkan latihan industri, penyelidikan gunaan dan peningkatan kebolehpasaran graduan UiTM.

Kemuncak lawatan turut disertai dengan sesi pertukaran cenderahati antara UiTM dan SD Guthrie sebagai simbolik penghargaan dan pengukuhan hubungan akademik–industri. UiTM turut menyampaikan produk inovasi fakulti, Kopi FPA, sebagai tanda apresiasi yang mencerminkan integrasi elemen pertanian, pemprosesan pasca tuai dan keusahawanan berasaskan agro.

Secara keseluruhan, lawatan akademik ini membuktikan keberkesanan pendekatan pembelajaran berasaskan industri dalam melahirkan graduan yang berpengetahuan, kompeten dan berdaya saing selari dengan aspirasi UiTM dan keperluan industri sawit negara.