FSKM UiTM Perkasa Pembangunan Kerjaya Pelajar Melalui International Alumni Series

SHAH ALAM, 1 Disember 2025 – Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh pembangunan kerjaya dan kebolehpasaran graduan melalui penganjuran International Alumni Series, sebuah platform strategik yang menghubungkan pelajar dengan alumni berpengalaman di peringkat global.

Program anjuran Pejabat Penyelidikan dan Jaringan Industri FSKM ini dilaksanakan secara dalam talian dan berjaya menarik purata penyertaan sekitar 100 peserta bagi setiap siri, sekali gus membuktikan keperluan dan minat tinggi dalam kalangan pelajar terhadap pendedahan kerjaya bertaraf antarabangsa.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2023, International Alumni Series telah menghimpunkan alumni berkaliber tinggi yang berkhidmat di pelbagai negara termasuk Sweden, United Kingdom, Singapura dan Ireland. Melalui perkongsian pengalaman dunia sebenar, para pelajar dapat memahami bagaimana ilmu yang diperoleh di FSKM diaplikasikan dalam industri teknologi global yang pesat berkembang.

Bagi edisi 2025, program menampilkan tiga tokoh profesional yang kini menerajui bidang masing‑masing di luar negara, iaitu:

  • Mohd Hafiz bin Mohd Radzali, Manager of Network Operations, Folk Maritime, Riyadh
  • Nabil Fikri bin Mohd Khalid, Senior Support Engineer, Atlassian Australia
  • Muhammad Amir Asyraf bin Mohd Nor, Cloud Consultant, Datacomm Australia

Perkongsian kesemua alumni ini telah membuka perspektif pelajar terhadap budaya kerja global, memperhalusi pemahaman tentang keperluan kemahiran masa depan serta menyediakan panduan jelas mengenai laluan kerjaya dalam bidang sains komputer, data, teknologi dan inovasi.

Selain memberi inspirasi, program ini turut memainkan peranan sebagai jambatan strategik antara fakulti dan industri melalui jaringan alumni antarabangsa yang kukuh, selaras dengan agenda UiTM untuk memperkasa kebolehpasaran graduan dan menyokong pembangunan bakat digital negara.

Maklum balas peserta menunjukkan peningkatan keyakinan, motivasi serta kejelasan hala tuju kerjaya selepas mengikuti sesi ini. Kejayaan International Alumni Series sekali lagi membuktikan bahawa alumni adalah aset penting universiti dalam membimbing dan mencorakkan generasi digital UiTM yang berdaya saing di pentas global.

Penulis: Nur Hazwani Aqilah Abdul Wahid

Penyunting: FSKM News Team