FSKM UiTM Perkasa Komuniti Kampung Budiman Melalui Program SULAM 2025: Digital Heroes

MERU, 22 November 2025 – Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam terus memperkukuh penglibatan universiti bersama komuniti melalui penganjuran Program SULAM 2025: Digital Heroes, yang melibatkan pelajar Sarjana Muda Sistem Maklumat (Kepujian) Kejuruteraan Sistem Maklumat dan Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) Rangkaian Komputer. Program ini dijalankan dengan kerjasama komuniti Kampung Budiman dan berlangsung di Dewan Balai Raya Kampung Budiman, di bawah bimbingan Cik Wan Atirah Wan Endut, Puan Saidatul Rahah Hamidi serta para pensyarah SULAM FSKM.

Diadakan di bawah kerangka Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM), program ini mengangkat tema “Wira Digital”, dengan matlamat meningkatkan kesedaran digital serta memperkenalkan penyelesaian berpacukan teknologi kepada penduduk Kampung Budiman. Program bermula dengan ucapan aluan oleh Ketua Kampung Budiman, Tok Imran Bin Kairon, yang turut menyempurnakan pelancaran rasmi program. Majlis diteruskan dengan perasmian oleh Dekan FSKM, Profesor Madya Ts. Dr. Norjansalika Janom, yang menyaksikan pelancaran Laman Web Kampung Budiman dan Sistem e-Aduan hasil pembangunan pelajar Kejuruteraan Sistem Maklumat. Majlis turut dihadiri oleh Prof. Ts. Dr. Ahmad Zia Ul-Saufie Mohamad Japeri, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa bersama pengurusan kanan fakulti.

Penduduk kampung menyambut baik pengenalan platform digital ini. Menurut seorang penduduk, En. Mustapha, “Saya kini boleh membuat aduan secara dalam talian dan menyemak status terkini tanpa perlu hadir ke pejabat. Ini sangat memudahkan.”

Program ini turut menampilkan Ceramah Kesedaran mengenai Kecerdasan Buatan (AI) dan ChatGPT, yang memberi pendedahan kepada masyarakat tentang bagaimana AI boleh membantu tugasan harian tanpa menggantikan peranan manusia. Turut diadakan ialah pelbagai reruai interaktif, aktiviti digital, permainan berasaskan teknologi serta Sudut Bacaan untuk memupuk minat membaca dan perkongsian ilmu.

Pelaksanaan Program SULAM 2025 berjaya merapatkan hubungan FSKM UiTM dengan komuniti Kampung Budiman melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar. Para pelajar berpeluang menterjemahkan ilmu akademik kepada impak nyata, sekali gus menyokong pembangunan setempat dan meningkatkan kualiti hidup penduduk.

Program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 11: Bandar & Komuniti Mampan, serta memperkukuh prinsip Malaysia MADANI melalui keterlibatan inklusif, kolaboratif dan berkesan.

Penulis: Saidatul Rahah Hamidi (Editor: FSKM News Team)