UiTM Pusat Asasi Dengkil Jayakan Arduino TechSphere Competition 2025

Dengkil, 11 Oktober 2025 – Unit Sains Komputer, Pusat Asasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Dengkil telah berjaya menganjurkan Program Arduino TechSphere Competition 2025, yang menjadi platform untuk mempamerkan kreativiti dan inovasi pelajar dalam bidang teknologi digital.

Program ini dianjurkan oleh pensyarah Unit Sains Komputer dengan sokongan sukarelawan pelajar Pusat Asasi. Sebanyak 42 projek inovasi melibatkan 210 pelajar Asasi Kejuruteraan telah dipertandingkan, dengan kesemua projek berasaskan konsep Internet Kebendaan (IoT). Pertandingan ini diadili oleh 21 juri jemputan yang terdiri daripada wakil industri, IPTA dan IPTS, sekali gus memperlihatkan bakat pelajar prasiswazah dalam mengaplikasikan teknologi semasa.

Tiga kategori utama dipertandingkan iaitu Assistive Technology, Embedded System, dan Robotic/Wearable Technology. Pemenang utama setiap kategori menerima wang tunai RM150, hamper, dan sijil penghargaan. Majlis perasmian dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Dr. Noor Syahida binti Md Soh, Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Pelajar & ICAN), Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor Kampus Dengkil.

Selain pertandingan, dua sesi ceramah industri turut diadakan secara selari oleh pakar jemputan iaitu Dr. Muhammad Reza Bin Z’aba (Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia) dan Ts. Tajul Azhar Bin Mohd Tajul Ariffin (Aceteam Networks Sdn. Bhd.). Antara tajuk ceramah yang disampaikan ialah “Navigating the Future of Cryptography in a Post-Quantum World” dan “Peranti Anda, Perisai Anda: Menangkis Virus, Malware, dan Ransomware”.

Penganjuran program ini diharap dapat memberi manfaat kepada pelajar Pusat Asasi UiTM, khususnya pelajar Asasi Kejuruteraan, serta menjadi pemangkin kepada minat dalam bidang teknologi dan inovasi. Program ini juga berperanan menggalakkan penglibatan aktif pelajar dalam penerokaan idea baharu berasaskan IoT.