UiTM Perkukuh Kolaborasi Universiti dan Keusahawanan Mahasiswa Melalui Idea Exchange: Jelajah Utara 2025

SHAH ALAM, 19 Oktober 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh jaringan kolaborasi antara institusi pendidikan tinggi dan memperkasa potensi keusahawanan mahasiswa melalui penyertaan aktif Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Meranti, UiTM Shah Alam dalam program Idea Exchange: Jelajah Utara 2025. Program berskala nasional ini berlangsung dari 17 hingga 19 Oktober 2025 dan memberi fokus kepada aktiviti kesukarelawanan, keusahawanan sosial serta pembangunan sahsiah mahasiswa.

Program ini mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UiTM dan dirasmikan oleh Pengetua Kolej Meranti, Dr. Firdaus Mohamad. Pelaksanaannya turut dijayakan dengan kerjasama Kelab Penyayang Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di bawah pimpinan Prof. Madya EUR ING Ir. Ts. Dr. Mohd Natashah bin Norizan dan Penasihat Program, Puan Intan Syazlina bt Mohd Ali.

Antara lokasi utama aktiviti ialah Rumah Kanak-Kanak Arau (RKKA), Perlis, sebuah institusi perlindungan di bawah Mahkamah. Di sini, mahasiswa menjalankan aktiviti Interactive Learning bersama anak-anak RKKA serta Projek Penceriaan Surau yang bertujuan memperindah ruang ibadah melalui semangat gotong-royong.

Menurut Dr. Firdaus Mohamad, program ini bukan sekadar inisiatif kesukarelawanan, tetapi wadah membentuk mahasiswa yang berjiwa pemimpin dan mempunyai kesedaran sosial tinggi. “Program seperti ini menyemai nilai empati, tanggungjawab sosial dan semangat keusahawanan dalam kalangan mahasiswa. Ia selaras dengan aspirasi KPT dan visi Malaysia MADANI,” ujar beliau.

Program ini turut memperlihatkan kolaborasi strategik antara empat universiti utama – UiTM, USM, UniMAP dan UUM – melalui sesi Dialog Bicara Mahasiswa yang memfokuskan kepada perkongsian idea, inovasi dan amalan terbaik dalam bidang keusahawanan pelajar. Hasil perbincangan menunjukkan mahasiswa masa kini memiliki daya kreatif dan kemahiran digital yang tinggi untuk melaksanakan projek berimpak kepada komuniti dan ekonomi negara.

Secara keseluruhannya, Idea Exchange: Jelajah Utara 2025 menjadi manifestasi peranan mahasiswa sebagai ejen perubahan sosial dan peneraju ekonomi masa depan. UiTM komited melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berjiwa kepimpinan, prihatin dan berdaya saing global.