UiTM Perkukuh Jaringan Akademik Antarabangsa Melalui Kolaborasi Bersama UMSU

Medan, Indonesia, 19 November 2025 – Tiga pensyarah kanan dari Unit Fizik, Pusat Asasi Universiti Teknologi MARA (UiTM)En. Syazuan Abdul Latip, Dr. Siti Aisyah Zawawi dan Dr. Siti Rudhziah Che Balian — bersama Timbalan Pegawai Psikologi, En. Norhisham Yacob, telah dijemput sebagai keynote speaker dalam sebuah kuliah umum bertaraf antarabangsa anjuran Fakultas Teknik, Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) pada 18 Oktober 2025. Kehadiran mereka sebagai wakil rasmi UiTM menandakan pengiktirafan terhadap kepakaran akademik institusi ini dalam bidang Sains dan Sains Sosial.

Kuliah umum tersebut menghimpunkan pelajar, penyelidik dan ahli akademik pelbagai disiplin untuk mengikuti sesi perkongsian ilmu dalam bidang fizik, kejuruteraan dan psikologi. Setiap pembentangan menekankan isu kontemporari, perkembangan teknologi semasa serta pendekatan psikologi dalam meningkatkan kesejahteraan pelajar dan masyarakat. Program ini turut membuka ruang perbincangan mengenai potensi kolaborasi akademik rentas negara yang lebih strategik pada masa hadapan.

Mengukuhkan lagi signifikan acara ini, satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) telah diadakan antara Malaysian International Islamic Chamber of Commerce and Industry (MIICCI) dan UMSU. MoU ini menjadi titik permulaan kepada kerjasama dua hala merangkumi pembangunan ekonomi, pendidikan, penyelidikan dan inovasi teknologi. Dalam pertemuan bersama pengurusan UMSU, institusi tersebut turut menyatakan hasrat untuk memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Pusat Asasi UiTM, khususnya dalam bidang pengajaran dan pembelajaran.

Program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan akademik antara Malaysia dan Indonesia, malah menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab pendidikan antarabangsa. Penglibatan aktif Pusat Asasi UiTM di pentas global membuktikan komitmen universiti dalam memperkukuh kecemerlangan pendidikan tinggi negara serta melahirkan graduan berpengetahuan dan kompetitif di peringkat dunia.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua wakil UiTM atas kejayaan mengharumkan nama universiti. Komitmen dan kepakaran yang ditonjolkan menjadi kebanggaan UiTM dan memperkukuh peranan Pusat Asasi sebagai peneraju pendidikan prauniversiti negara.