
GERIK, 6 November 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak terus komited memperkukuh agenda pembangunan mahasiswa dan jaringan komuniti melalui penganjuran Bakti Siswa MADANI, sebahagian daripada projek khas Bakti MADANI Mega UiTM 2025 yang berlangsung dengan jayanya di Kampung Bongor, Gerik, Perak pada 19 Oktober 2025. Program ini merupakan hasil kolaborasi strategik bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bongor, menzahirkan usaha universiti dalam mendekatkan mahasiswa dengan masyarakat setempat.
Seramai 80 pelajar dari Kampus Seri Iskandar dan Tapah telah menyertai program ini, termasuk 30 mahasiswa yang dijadikan anak angkat kepada keluarga komuniti Kampung Bongor. Inisiatif ini membuktikan peranan UiTM bukan sahaja melahirkan graduan cemerlang akademik, tetapi juga individu yang berjiwa sukarelawan dan berintegriti.


Program Bakti Siswa MADANI selaras dengan pelan tindakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkukuh nilai MADANI dalam kalangan mahasiswa. Antara aktiviti utama ialah gotong-royong pengindahan Dewan Orang Ramai dan Tabika Kemas, pemeriksaan kesihatan, perkhidmatan gunting rambut percuma, slot Misi Akademik dan Motivasi Desa, Ziarah Kasih UiTM Di Hatiku, program 3 Kampung 1 Jiwa, wayang pacak serta riadah jejak ‘awan nano’ bersama komuniti.
Majlis penutup disempurnakan oleh YB Dato’ Salbiah Mohamed, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, yang menzahirkan penghargaan kepada UiTM atas komitmen mendidik mahasiswa melalui aktiviti kemasyarakatan. Turut hadir ialah Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Madya Dr. Nur Hisham Ibrahim, yang menjalankan fungsi Rektor UiTM Perak, serta Encik Ghazali Salleh, Pengerusi JPKK Kampung Bongor.
Sambutan hangat dan semangat kerjasama penduduk kampung sepanjang program mencerminkan kejayaan inisiatif ini dalam memperkukuh hubungan universiti-komuniti, selaras dengan aspirasi UiTM Prihatin dan Malaysia MADANI.
