
UiTM Perak, 31 Oktober 2025 – Program Eco Fest 2025 yang berlangsung sepanjang bulan Oktober telah melabuhkan tirainya dengan penuh kejayaan di UiTM Cawangan Perak. Penganjuran ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Kampus Hijau UiTM Cawangan Perak dengan sokongan strategik daripada Pulau Banding Foundation dan UiTM Green Centre sebagai rakan kolaborasi utama. Bertemakan “Kelestarian Kampus, Keharmonian Warga”, program ini menghimpunkan warga akademik, pelajar, rakan industri dan komuniti setempat bagi memperkukuh komitmen UiTM ke arah pembangunan mampan sejajar dengan agenda universiti rendah karbon.
Kejayaan Eco Fest 2025 turut menyumbang kepada pencapaian Petunjuk Prestasi (PI) UiTM, khususnya PI107: Program Kitar Semula Sisa Universiti (3R), PI108: Program Pengurangan Penggunaan Kertas dan Plastik, serta PI135: Projek Keceriaan Kampus. Sepanjang Oktober, sebanyak 12 program lestari dilaksanakan di Kampus Seri Iskandar dan Tapah di bawah pimpinan Pengarah Projek, Prof Madya Sr Dr Nur Azfahani Ahmad.


Antara pengisian utama ialah Waqaf Ilmu Series (1 Oktober), Bengkel Leafy Offices 2.0 (3 Oktober), ECO-Green Talk & MGBC Road Show (17 Oktober), ECO-Carbon Score Workshop (23 Oktober), dan ECO-Green Forest Walk (29 Oktober). Di Kampus Tapah pula berlangsung aktiviti seperti Pengumpulan Sisa Minyak Masak Terpakai, Eco Workspace Makeover, Green Unifit Explorace Challenge, Bye-Bye Chemical, Hello Nature, dan Pertandingan Hygrowbloom 2.0. Majlis turut diserikan dengan lawatan rasmi UiTM Green Centre (8 Oktober) dan penyerahan Skuter Elektrik sumbangan Blueshark Malaysia (13 Oktober).
Kemuncak Eco Fest 2025 adalah Majlis Penutup pada 31 Oktober yang menampilkan Reruai Pameran dan Jualan, Pertandingan ECO-Innovation and Invention, serta aktiviti Mudball 2.0 di Foyer Pentadbiran, Kampus Tapah. Penganjuran ini membuktikan komitmen UiTM Perak dalam memperkukuh budaya kelestarian dan inovasi hijau, selaras dengan aspirasi UiTM Prihatin dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
