
JENGKA,4 November 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang melalui Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), Pusat Pengajian Sains (PPS), dengan kerjasama Malaysians Against Pornography (MAP), telah menganjurkan Program Remaja Madani: Bijak Cinta, Sihat Jiwa bertempat di Masjid Uwais Al-Qarni pada 8 Oktober 2025. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan seksual dan reproduktif serta mendidik remaja tentang bahaya pornografi dan pengurusan emosi berlandaskan nilai Islam.
Seramai 100 pelajar daripada Pusat Pengajian Sains telah menyertai program ini yang menekankan pendidikan seimbang antara ilmu dan iman. Penganjuran ini juga merupakan usaha menangani kebimbangan masyarakat terhadap peningkatan ketagihan pornografi dan hubungan seksual berisiko dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi. Remaja dididik memahami konsep cinta dalam perspektif Islam – cinta yang menjaga maruah dan mendidik jiwa, bukan yang membawa kepada kerosakan diri.

Program ini menampilkan dua penceramah jemputan iaitu Dr. Bisha Fathamah Uzir, Pengerusi MAP, dan Dr. Muhamad Ashraf Rostam, pensyarah kanan Kulliyyah Sains Kesihatan Bersekutu, IIUM Kuantan yang juga alumni UiTM. Slot pertama bertajuk “Kesihatan Seksual dan Reproduktif” diikuti slot kedua “Bahaya Pornografi & Bijak Dunia Siber”. Kedua-dua sesi disampaikan secara interaktif dengan fokus kepada pendidikan seksual beretika, keselamatan siber, dan pengurusan emosi.
Program ini turut memberi ruang kepada peserta untuk bertanya dan berkongsi pandangan mengenai cabaran semasa remaja. Penganjuran ini selaras dengan komitmen UiTM Pahang menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 3 – Kesihatan dan Kesejahteraan, SDG 4 – Pendidikan Berkualiti) serta mendukung aspirasi UiTM Prihatin dan Malaysia MADANI dalam membentuk generasi muda yang seimbang dari segi intelek, emosi dan spiritual.
Disediakan oleh : Dr. Mardhiah Ismail
Disunting oleh : Dr Zati Ismah Ishak
