
SHAH ALAM, 18 November 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) kekal menyerlah di persada global apabila tersenarai dalam kelompok 32% institusi terbaik di dunia menerusi QS World University Rankings: Sustainability 2026. Penarafan ini menempatkan UiTM pada kedudukan =640 daripada 2,002 institusi di seluruh dunia dan =175 di Asia. Edisi 2026 mencatatkan persaingan yang lebih sengit dengan penyertaan 251 institusi baharu. Namun, UiTM berjaya mencatatkan peningkatan 12% dalam skor keseluruhan, sekali gus menduduki tempat ke-14 pada peringkat nasional. Pencapaian ini menunjukkan komitmen UiTM terhadap agenda Matlamat Pembangunan Mampan melalui pendidikan, penyelidikan, dan tadbir urus. QS World University Rankings: Sustainability 2026 menilai institusi berdasarkan tiga kategori utama, iaitu Impak Alam Sekitar, Impak Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
UiTM menunjukkan prestasi cemerlang dalam kategori Impak Sosial, dengan skor 89.5 bagi lensa Pertukaran Pengetahuan, menempatkannya dalam kedudukan =245 pada peringkat global dan =6 pada peringkat nasional. Pencapaian ini diperkasakan oleh peningkatan prestasi dalam lensa Kebolehpasaran dan Keberhasilan serta Kesaksamaan, sekali gus menonjolkan komitmen UiTM terhadap kesiapsiagaan graduan, pengukuhan kerjasama dengan industri, dan pelaksanaan amalan pendidikan yang terangkum. Selain itu, peningkatan skor sebanyak 57.8% bagi lensa Penyelidikan Alam Sekitar mencerminkan komitmen UiTM untuk memperkukuh usaha penyelidikan dalam menangani isu alam sekitar dan kemampanan. Secara keseluruhan, UiTM berjaya melepasi skor median global dalam semua kategori yang dinilai. Hal ini menunjukkan keupayaan UiTM dalam menghadapi isu dan cabaran global, sejajar dengan usaha memperkukuh tadbir urus berteraskan amalan terbaik antarabangsa.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin berkata, “Pengiktirafan UiTM dalam QS World University Rankings: Sustainability 2026 membuktikan usaha berterusan UiTM dalam menerapkan aspek kemampanan dalam pendidikan, penyelidikan, operasi serta penglibatan komuniti. Menuju aspirasi UiTM2030, kami komited memacu pertumbuhan mampan, impak global, dan melahirkan graduan bumiputera yang mahir, berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran tempatan dan antarabangsa.”
