UiTM Dengkil Perkukuh Jalinan Antarabangsa Melalui MoU Bersama Institusi Kemboja

Dengkil, 11 November 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Pusat Asasi UiTM Dengkil telah berjaya memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama dua institusi antarabangsa, iaitu Persatuan Kebajikan Al-Ikram Kemboja dan Maahad Tahfiz An-Nikmah Cambodia. Majlis bersejarah ini telah diadakan secara atas talian bagi memperkukuh hubungan strategik dan memperluas kerjasama dalam bidang pembangunan akademik, kebajikan, dan penglibatan pelajar di peringkat global.

Pusat Asasi UiTM Dengkil telah diwakili oleh YBrs. Prof. Dr. Zulkhairi bin Haji Amom, Pengarah Pusat Asasi UiTM Dengkil dan YBrs. Dr. Noor Syahidah Binti Md Soh, Timbalan Pengarah HEP & ICAN. Persatuan Kebajikan Al-Ikram Kemboja diwakili oleh Encik Ismael Syafie, Ketua Persatuan bersama Encik Kamaruddin Isa, petugas persatuan. Manakala Maahad Tahfiz An-Nikmah Cambodia diwakili oleh Encik Ismael Syafie, selaku Pentadbir/Mudir, dan Encik Muktar Isa, guru maahad tersebut.

MoU ini memeterai hubungan rasmi dan memperkukuh kolaborasi strategik antara UiTM dan institusi luar negara dalam bidang pembangunan akademik, penyelidikan, latihan pelajar, serta program kebajikan dan kemasyarakatan. Inisiatif ini sejajar dengan aspirasi universiti untuk menyokong Petunjuk Prestasi PI072 yang menekankan kolaborasi antarabangsa dan memperkukuh peranan UiTM dalam agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi.

Antara aktiviti yang dirancang di bawah kerjasama ini termasuk program sukarelawan antarabangsa, projek komuniti pelajar di Kemboja, latihan akademik dan keusahawanan, serta pertukaran pengetahuan dalam bidang pendidikan Islam dan kebajikan sosial. Kerjasama ini juga membuka peluang kepada penglibatan staf akademik dan bukan akademik dalam aktiviti pembangunan kapasiti serta penyelidikan berimpak sosial.

Kolaborasi ini dijangka memberi impak positif kepada UiTM dan Pusat Asasi UiTM Dengkil, terutamanya dalam memperkukuh imej antarabangsa universiti, memperluas jaringan kerjasama global, serta meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar melalui penglibatan dalam program luar negara. Bagi staf, ia menjadi platform untuk berkongsi kepakaran dan membina hubungan profesional dengan rakan antarabangsa.

UiTM berharap agar kerjasama ini menjadi permulaan kepada pelbagai inisiatif berimpak tinggi yang dapat memperkukuh nilai globalisasi dalam kalangan warga universiti serta menyemai semangat kepimpinan, tanggungjawab sosial, dan kecemerlangan akademik di peringkat antarabangsa.