
Butterworth, Pulau Pinang, 9 Oktober 2025 – Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang telah menganjurkan program “Kempen Komunikasi, Pendidikan, Penglibatan dan Kesedaran Awam (CEPA) bagi Program Ramalan & Amaran Banjir (PRAB)” di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Said, Sungai Dua. Program ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara UiTM, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) serta pihak sekolah.
Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman warga sekolah mengenai teknologi ramalan banjir yang dibangunkan oleh PRABN, di samping memperkenalkan langkah keselamatan ketika menghadapi bencana. Sistem ramalan PRABN menggunakan data hujan, paras sungai dan ramalan cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia bagi membolehkan tindakan pencegahan dilaksanakan lebih awal dan berkesan. Peserta turut didedahkan kepada Kempen KARIB oleh JPS serta aplikasi Public Info Banjir yang menyediakan maklumat amaran banjir melalui SMS, portal dan media sosial.


Program ini turut diserikan dengan pameran oleh agensi kerajaan seperti JPS, NAHRIM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan Unit Pengurusan Bencana Negeri. Aktiviti interaktif seperti Treasure Hunt dan Role Play memberi pengalaman simulasi banjir kepada pelajar, termasuk mengenali siren amaran dan langkah keselamatan.
Pelaksanaan ini selaras dengan Perancangan Strategik UiTM 2025 melalui indikator University Social Responsibility (USR), membuktikan komitmen UiTM dalam memperkukuh peranan komuniti dan kerjasama dengan agensi kerajaan. Secara keseluruhan, program ini berjaya memupuk kesedaran tentang kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir serta kepentingan teknologi dalam pengurusan risiko, sekali gus melahirkan masyarakat yang berdaya tahan dan bertanggungjawab.
