Program STEM Camp 2025 Dorong Minat Pelajar Meneroka Bidang Sains

ALOR GAJAH, 20 November 2025 – STEM Camp 2025 yang berlangsung pada 18 November 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Talib Karim (STARIM), Alor Gajah Melaka berjaya membuktikan keberkesanan pembelajaran berasaskan pengalaman dalam meningkatkan minat, keterlibatan serta keyakinan pelajar Tingkatan 3 untuk meneroka bidang sains secara lebih mendalam dan bermakna. Program ini turut menerima pembiayaan penuh daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), yang memungkinkan pelaksanaan aktiviti STEM secara komprehensif dan berimpak tinggi kepada pelajar peringkat menengah rendah.

Melalui gabungan aktiviti visual, kinestetik dan eksperimen asas, program ini berjaya menterjemahkan konsep kimia yang lazimnya abstrak kepada pengalaman pembelajaran yang konkrit, sejajar dengan pendekatan experiential learning yang menghubungkan teori dengan aplikasi sebenar. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman konsep, malah memainkan peranan penting dalam memupuk keyakinan pelajar untuk terus meneroka bidang STEM.

Program turut disertai pelajar Program Sarjana Muda Sains Agronomi dengan Kepujian, Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA), UiTM Kampus Jasin sebagai fasilitator. Penglibatan mereka memperkukuh elemen pemindahan ilmu (knowledge transfer) antara universiti dan komuniti, selain membantu membentuk kemahiran komunikasi saintifik, kepimpinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa.

Antara aktiviti utama ialah Jadual Berkala Manusia dan Eksplorasi Struktur Geometri Molekul, yang membolehkan pelajar menghubungkan teori kimia dengan aplikasi melalui pendekatan pembelajaran visual dan interaktif. Maklum balas positif daripada pelajar dan guru menunjukkan bahawa pendekatan ini berpotensi dijadikan model pembelajaran STEM yang efektif, terutamanya dalam meningkatkan literasi sains pelajar menengah rendah.

Program selama lima jam ini turut menyediakan platform pembelajaran inklusif, khususnya kepada pelajar dari kawasan luar bandar yang mempunyai keterbatasan akses kepada aktiviti STEM yang inovatif. Pendekatan hands-on bukan sahaja menambah kefahaman terhadap konsep asas kimia, malah berjaya mengubah persepsi bahawa subjek kimia adalah sukar dan abstrak.

Secara keseluruhan, STEM Camp 2025 mengukuhkan kerjasama strategik antara pihak sekolah, PIBG dan institusi pendidikan tinggi dalam memperkasakan literasi STEM serta memupuk minat generasi muda terhadap bidang sains. Dengan sokongan MOSTI, inisiatif seumpama ini wajar diperluas ke sekolah rendah dan pendidikan awal kanak-kanak sebagai usaha menyokong agenda pendidikan negara ke arah melahirkan masyarakat yang berpengetahuan, kompeten dan bersedia menghadapi cabaran sains dan teknologi masa hadapan.