Program Khidmat Masyarakat UiTM Perak Semarakkan Semangat Pendidikan di Sekolah Orang Asli

Langkap, 25 Oktober 2025 – Seramai 30 warga Jabatan Alam Bina dan Teknologi (JABT), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar telah menjayakan Program Khidmat Masyarakat di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu Redang Ponggor (SKKBRP), Langkap, Perak pada 25 Oktober 2025.

Program ini bertujuan memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti luar bandar di samping memberi pendedahan kepada pelajar serta pensyarah mengenai aplikasi ilmu secara praktikal melalui aktiviti berbentuk komuniti dan pengindahan sekolah. Inisiatif ini juga selaras dengan komitmen UiTM dalam melaksanakan University Social Responsibility (USR) bagi mendekatkan institusi pendidikan tinggi dengan masyarakat setempat.

Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk projek melukis dan mengecat mural, gotong-royong pengindahan kawasan sekolah, serta program interaktif bersama pelajar dan penduduk kampung seperti taklimat akademik, sukaneka, dan sesi kaunseling kerjaya. Aktiviti-aktiviti ini melibatkan kolaborasi erat antara pensyarah, pelajar, alumni UiTM serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKKBRP.

Menurut Pengarah Projek, Dr. Muhamad Ferdhaus bin Sazali, program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti tempatan, tetapi turut membuka ruang kepada pelajar UiTM untuk mempraktikkan kemahiran teknikal, pengurusan projek, dan nilai kepimpinan melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar. Beliau menambah bahawa sekolah ini merupakan institusi pendidikan luar bandar yang majoriti pelajarnya terdiri daripada komuniti orang asli. Justeru, inisiatif ini diharap dapat menyuntik semangat dan motivasi kepada pelajar untuk terus cemerlang dalam pelajaran serta menanam minat terhadap bidang akademik.

Program sehari ini turut diserikan dengan sesi penyampaian sijil penghargaan serta sumbangan barangan kepada pihak sekolah dan PIBG. UiTM berharap usaha sebegini dapat diteruskan secara berterusan sebagai pemangkin kepada pembangunan komuniti dan pendidikan inklusif di kawasan luar bandar.