
ARAU, 20 November 2025 – Seramai 23 sukarelawan mahasiswa daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis yang menganggotai Persatuan Belia Harmoni telah menjayakan Program Harmoni Prihatin, sebuah inisiatif khidmat masyarakat yang bertujuan menyantuni penghuni Rumah Kanak-Kanak Arau, pada 15 November 2025.
Program yang berlangsung meriah ini merupakan usaha berterusan mahasiswa untuk memberikan sokongan emosi serta keceriaan kepada kanak-kanak di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Rumah Kanak-Kanak Arau kini menjadi tempat perlindungan dan ruang tumbesaran bagi lebih 100 penghuni yang memerlukan perhatian khusus.


Inisiatif ini dimulakan seawal jam 8.30 pagi dengan sesi senaman ringan dan aktiviti ice-breaking bagi membina keserasian antara sukarelawan dan kanak-kanak. Aktiviti kemuncak merupakan permainan eksplorasi bertemakan “Belajar Sambil Bermain” yang dijalankan di beberapa hentian (check point). Melalui pembentukan kumpulan kecil, para peserta diuji dari segi kerjasama berpasukan, kreativiti dan ketangkasan fizikal.
Objektif utama aktiviti ini bukan sahaja untuk hiburan semata-mata, malah bertujuan untuk merangsang kognitif dan sosial kanak-kanak dalam persekitaran yang selamat dan menyeronokkan. Sorakan dan gelak tawa yang memenuhi ruang sepanjang tempoh aktiviti membuktikan keberkesanan program ini dalam menyuntik semangat baharu kepada para penghuni.
Majlis penutupan menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang permainan eksplorasi serta pemberian set goodies kepada semua kanak-kanak sebagai tanda ingatan. Program berakhir pada jam 12.00 tengah hari selepas sesi bergambar kenangan bersama pihak pentadbiran Rumah Kanak-Kanak Arau.
Selain memberi impak positif kepada komuniti, Program Harmoni Prihatin ini juga berfungsi sebagai platform bagi mahasiswa UiTM Perlis untuk memupuk nilai empati, kepimpinan, dan budaya prihatin. Usaha ini selaras dengan hasrat melahirkan generasi belia yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai sahsiah diri yang tinggi terhadap isu kebajikan masyarakat.
