Persidangan Kebangsaan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara 2025 Perkukuh Usaha Pemeliharaan Identiti Bangsa

Permatang Pauh, 8 Oktober 2025Persidangan Kebangsaan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada 7 dan 8 Oktober 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh bersempena penganjuran Festival Cita Rasa Warisan@IPT. Persidangan ini menjadi platform ilmiah yang menghimpunkan sarjana, penyelidik, penggiat industri dan pelajar bagi membincangkan isu, cabaran serta strategi pemeliharaan warisan kebudayaan tidak ketara di Malaysia.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya pelajar institusi pengajian tinggi, terhadap kepentingan memelihara nilai tradisi dan identiti bangsa. Objektif utama persidangan adalah untuk memenuhi agenda 2003 Convention for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage, UNESCO, menyediakan garis panduan amalan terbaik, serta membuat rekomendasi perlindungan warisan kebudayaan tidak ketara. Selain itu, ia menjadi platform perkongsian ilmu antara pakar, agensi kerajaan, ahli akademik dan komuniti, serta mempromosikan makanan warisan yang diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Lebih 200 peserta hadir, terdiri daripada pensyarah, penyelidik, pelajar, pegawai Jabatan Warisan Negara, penggiat industri dan orang awam. Sebanyak 13 kertas kerja dibentangkan merangkumi kelestarian makanan warisan dalam pendidikan, asimilasi budaya dalam konteks makanan tradisi, dan peranan makanan warisan sebagai pemangkin ekonomi. Persidangan ini turut menghasilkan prosiding yang menekankan kepentingan pendidikan makanan warisan di sekolah dan universiti, sokongan kerajaan terhadap makanan warisan Malaysia, serta pembangunan pangkalan data digital warisan tidak ketara.

Maklum balas peserta menunjukkan persidangan ini berjaya meningkatkan kesedaran dan menggalakkan kolaborasi antara universiti, agensi kerajaan dan komuniti tempatan. Secara keseluruhan, persidangan ini mencapai objektif yang ditetapkan dan diharap dapat diteruskan dengan penglibatan lebih luas demi melestarikan warisan bangsa.