Pengiktirafan THE Interdisciplinary Science Rankings (ISR) 2026 Buktikan Komitmen UiTM terhadap Sains Antara Disiplin

SHAH ALAM, 20 November 2025 – Times Higher Education (THE) Interdisciplinary Science Rankings 2026 telah mengiktiraf Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam kedudukan 201–250 untuk edisi keduanya, sekali gus mencerminkan usaha berterusan institusi dalam memperkukuh inovasi dan kecemerlangan merentas pelbagai bidang antara disiplin. Dibangunkan bersama Schmidt Science Fellows, THE ISR mengiktiraf institusi yang menunjukkan komitmen tinggi dan sumbangan signifikan dalam memacu kemajuan saintifik merentas disiplin.

THE ISR 2026 menilai prestasi institusi merentasi bidang sains antara disiplin, termasuk disiplin sains utama seperti sains komputer, kejuruteraan, sains hayat, dan sains fizikal, di samping disiplin bukan STEM tertentu seperti sains sosial, pendidikan, psikologi, undang-undang, ekonomi serta klinikal dan kesihatan. Edisi tahun ini menghimpunkan 1,267 institusi lebih daripada 90 negara dan wilayah, dengan peningkatan sebanyak 22% berbanding tahun sebelumnya yang menggambarkan trend global ke arah pendekatan penyelidikan sains yang lebih bersepadu dan kolaboratif.

Kerangka penarafan ISR adalah berasaskan tiga teras utama, iaitu input, proses dan output yang merangkumi 11 metrik. Teras input menilai pelaburan institusi dalam sains antara disiplin, termasuk pembiayaan dan kerjasama dengan industri. Teras proses pula menilai sistem sokongan institusi meliputi fasiliti, sokongan pentadbiran serta dasar pembangunan kerjaya yang mengiktiraf sumbangan penyelidikan antara disiplin. Seterusnya, teras output menumpukan kepada kualiti dan impak penerbitan antara disiplin, reputasi global serta kadar sitasi antara disiplin.

Pencapaian UiTM dalam THE ISR 2026 mencerminkan kekuatan budaya kolaboratif, sama ada dalam kalangan komuniti akademiknya mahupun melalui jalinan strategik bersama industri serta rangkaian penyelidikan global. Dengan mengintegrasikan pengetahuan merentasi pelbagai disiplin, UiTM terus memperkukuh peranannya sebagai salah sebuah institusi terkemuka negara dalam pendidikan dan penyelidikan berimpak tinggi, sekali gus menyumbang secara signifikan kepada landskap akademik dan saintifik global.