
MELAKA, 3 November 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Jasin telah menganjurkan Program Latihan Sehari & Kursus Good Agricultural Practices (GAP) Tanaman Getah dengan kerjasama Lembaga Getah Malaysia (LGM) Wilayah Selatan. Program ini bertujuan memperkasa kemahiran teknikal pelajar dalam bidang perladangan serta memberi pendedahan langsung terhadap amalan terbaik industri getah negara.
Seramai 40 pelajar Diploma Pengurusan Industri Perladangan di bawah Fakulti Perladangan dan Agroteknologi telah menyertai program ini. Kursus ini merangkumi aspek pengurusan tanaman getah secara profesional termasuk pemilihan klon, penjagaan ladang, teknik penorehan, pembajaan, kawalan penyakit dan amalan penanaman mengikut standard Good Agricultural Practices (GAP).


Sepanjang sesi, pelajar mengikuti taklimat teknikal dan demonstrasi lapangan yang dikendalikan oleh pegawai serta pakar LGM. Pendekatan praktikal ini membolehkan pelajar melihat secara langsung aplikasi teknologi dan sistem pengurusan ladang yang digunakan dalam sektor getah masa kini. Sesi soal jawab turut memberi peluang kepada pelajar mendapatkan maklumat tambahan berkaitan kerjaya, penyelidikan dan prospek masa depan industri getah di Malaysia.
Program ini diiringi oleh barisan pensyarah UiTM termasuk Dr. Mohammad Feizal Daud, Prof. Madya Ts. Dr. Nor Azma Yusuf, Dr. Siti Nur Anisah Aani, Dr. Nuraini Mohd Noor, En. Mohd Zafri Ab Wahab dan En. Khawarizmi Mohd Aziz. Menurut pensyarah pengiring, latihan sebegini amat signifikan kerana menjadi jambatan antara teori dan realiti industri, seterusnya meningkatkan kompetensi pelajar.
UiTM Cawangan Melaka merakamkan penghargaan kepada LGM atas sokongan padu dalam menjayakan program ini. Kerjasama strategik sebegini diyakini mampu memperkukuh hubungan akademia–industri dan melahirkan graduan yang bersedia memenuhi keperluan sektor perladangan negara.
