Help for Hope 3.0: UiTM FKK Perkukuh Kebajikan Mahasiswa Kejuruteraan

Shah Alam, 18 November 2025Program Help for Hope kembali untuk edisi ketiga yang dinanti-nantikan, mengukuhkan peranan Fakulti Kejuruteraan Kimia (FKK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) bukan sahaja sebagai peneraju bidang teknikal, tetapi juga sebagai pemangkin kebajikan mahasiswa. Program yang berlangsung pada 14 November 2025 ini terus menjadi platform penting dalam menyediakan jaringan keselamatan kewangan kepada mahasiswa kejuruteraan yang memerlukan.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Prof. Madya Ir. Dr. Azil Bahari Alias @Ales, Dekan FKK, dan dirasmikan oleh Yang Berbahagia Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP) UiTM. Kehadiran beliau menzahirkan komitmen pengurusan universiti terhadap kesejahteraan pelajar. Turut hadir ialah pengurusan tertinggi fakulti-fakulti kejuruteraan lain, menandakan sokongan padu terhadap inisiatif ini.

Help for Hope 3.0 mengekalkan matlamat utamanya iaitu memberikan bantuan kewangan kepada mahasiswa yang layak, merangkumi yuran pengajian, wang saku dan keperluan asas bagi memastikan kelangsungan pembelajaran. Kejayaan program ini didorong oleh sokongan rakan korporat dan agensi kebajikan, termasuk SIRIM QAS International, Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF), Top Glove Sdn. Bhd., Aero Steels Engineering Works (Malaysia), EHH Food Industry Sdn. Bhd., Evolusi Pusaka Sdn. Bhd., Unit Pengurusan Non-Resident (NR) UiTM dan Kidz Studios Printing.

Pelaksanaan program ini adalah hasil dedikasi Unit Hal Ehwal Pelajar (HEP) FKK yang diketuai oleh Dr. Miradatul Najwa Muhd Rodhi, bersama Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) FKK di bawah bimbingan Dr. Nor Saiful Hafiz Abdul Habib. Program ini bukan sekadar pemberian sumbangan, tetapi simbol solidariti komuniti kejuruteraan untuk saling membantu, memastikan harapan terus menyinari laluan setiap jurutera muda.