
ALOR GAJAH, 28 Oktober 2025 – Program “Ex-Campus, Now Boss: Alumni Share Real Talk!” anjuran Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri, UiTM Cawangan Melaka telah berlangsung dengan penuh meriah di Dewan Taming Sari, Kampus Alor Gajah. Lebih 600 pelajar hadir bagi mendengar perkongsian inspirasi daripada alumni UiTM yang kini bergelar pemimpin dan tokoh dalam pelbagai bidang.
Program ini menjadi platform strategik untuk memperkukuh hubungan antara alumni dan warga kampus, selaras dengan usaha UiTM melahirkan graduan berdaya saing, berwawasan dan berjiwa kepimpinan. Antara panel jemputan ialah YB Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem (Timbalan EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital), YBhg. Dato’ Najmuddin Abdullah (Profesor Adjung Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi), YBhg. Datin Erni Dekritawati Yuliana Buhari (CEO Nouvelle Visages) serta Puan Elvy Kassim (Managing Director, Cards Business Affin Group). Sesi ini dikendalikan oleh Hj. Nazri Kahar, Editor Kanan Astro Awani.


Dalam ucapan perasmian, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Hj. Mohd Rasdi bin Hj. Zaini, Rektor UiTM Cawangan Melaka, menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan alumni yang menjadi ikon kepimpinan. “Kejayaan alumni bukan sahaja kebanggaan UiTM, tetapi juga simbol komitmen universiti dalam memajukan pendidikan tinggi negara,” katanya.
Menurut pelajar yang hadir, perkongsian ini membuka minda mereka tentang realiti dunia kerjaya dan kepimpinan, sekali gus membina keyakinan untuk mengejar cita-cita selepas graduasi. Dr. Noor Afzaliza Nazira Ibrahim, Pengarah Projek dan Penyelaras Jaringan Alumni UiTM Melaka, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program ini. “Program sebegini bukan sekadar medan perkongsian, tetapi jambatan yang menghubungkan alumni dengan kampus,” ujarnya.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah mantan Rektor UiTM Melaka, barisan pengurusan kanan universiti serta ahli Persatuan Alumni UiTM Melaka (UMAT). Program ini diharap menjadi pemangkin kepada mahasiswa UiTM untuk terus berusaha mengejar kejayaan dan memperkukuh jati diri sebagai warga UiTM.
Penulis: Dr. Noor Afzaliza Nazira Ibrahim
Penyunting: Soo Yew Phong
