YAB Dato’ Menteri Besar Selangor Sampaikan Bicara Tokoh Sempena MDS UCS

Puncak Alam, 7 Oktober 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah menerima kunjungan hormat YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor sempena penganjuran Minggu Destini Siswa (MDS) pada 30 September 2025. Kehadiran beliau bagi menyampaikan Slot Bicara Tokoh bukan sahaja menyerikan majlis, malah mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Selangor dalam menyokong pembangunan pendidikan tinggi di negeri ini.

Ketibaan YAB Dato’ Seri telah disambut oleh Prof. Ts. Dr. Norazah Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) yang mewakili Naib Canselor UiTM, bersama barisan pengurusan kanan UiTM Cawangan Selangor, para dekan fakulti serta lebih 1,000 mahasiswa baharu yang hadir bagi memeriahkan sesi tersebut.

Slot Bicara Tokoh ini bertujuan memberi inspirasi kepada mahasiswa baharu dengan mengetengahkan nilai kepimpinan, tanggungjawab sosial dan peranan mereka sebagai generasi pelapis negara dalam merealisasikan aspirasi negeri dan negara. Dalam ucapannya, YAB Dato’ Seri menekankan pentingnya mahasiswa membina jati diri dan daya saing dalam menghadapi cabaran masa depan.

Pada majlis yang sama, YAB Dato’ Seri turut melancarkan Program Komuniti Mahasiswa Selangor, sebuah inisiatif Yayasan Selangor yang memberi tumpuan kepada pembangunan sahsiah, kepimpinan, kebajikan dan kebolehpasaran anak-anak Selangor. Program ini dijangka memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara universiti, kerajaan negeri dan komuniti setempat, selari dengan aspirasi memperkasa modal insan yang berkualiti dan berdaya saing.

UiTM Cawangan Selangor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Dato’ Seri atas kesudian hadir dan berkongsi pandangan serta pengalaman yang amat bermakna bersama warga kampus. Perkongsian tersebut diyakini mampu menyuntik semangat dan keyakinan dalam kalangan mahasiswa baharu untuk melangkah cemerlang dalam perjalanan akademik mereka serta membentuk diri sebagai pemimpin masa depan negara.