
PULAU PINANG, 10 September 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang menerusi Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) telah berjaya melaksanakan Program Latihan Pembuatan Produk Hiliran berasaskan cendawan bersama 23 peserta terdiri daripada guru dan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Mak Mandin. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Pendayaan Komuniti@UniMADANI yang bertujuan memperkasa komuniti melalui pemindahan ilmu dan teknologi.
Latihan yang berlangsung pada 10 September 2025 di SK Mak Mandin ini merupakan kesinambungan kepada sesi terdahulu yang diadakan pada Julai 2025, yang memfokuskan kepada pengurusan ladang dan penggunaan teknologi iMistroom 2.0. Dalam modul terkini, peserta didedahkan kepada proses penghasilan produk hiliran seperti cendawan goreng dan cendawan rangup menggunakan hasil tuaian segar daripada rumah cendawan yang dibangunkan sebelum ini.

Latihan dijalankan secara praktikal dengan bimbingan tenaga pengajar dari FKM UiTM Pulau Pinang. Menurut Ketua Projek, Prof. Madya Ir. Dr. Koay Mei Hyie, program ini bukan sahaja memperkenalkan teknologi moden dalam penghasilan produk makanan, malah memberi impak sosial yang besar kepada pelajar berkeperluan khas.
“Kelebihan latihan ini bukan sahaja terletak pada pendedahan teknikal dalam pembuatan produk hiliran, tetapi juga pada penerapan nilai dan kemahiran penting bagi pelajar berkeperluan khas seperti kemahiran berdikari, kerjasama, komunikasi dan keyakinan diri. Pendekatan ini membantu mereka mengembangkan potensi diri secara menyeluruh, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI,” ujar beliau.
Program ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui dana Komuniti@UniMADANI, selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan komuniti setempat.
Kejayaan penganjuran ini menjadi pemangkin kepada UiTM Cawangan Pulau Pinang untuk memperluas pelaksanaan projek iMistroom serta pembangunan produk hiliran ke lebih banyak komuniti sasaran pada masa hadapan. Usaha ini sekali gus memperkukuh peranan UiTM sebagai peneraju dalam pemindahan ilmu dan teknologi, serta menyokong pembangunan inklusif dan mampan dalam kalangan masyarakat.
Penyunting: Nur Hafizah Habideen
