
ARAU, 9 Oktober 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis hari ini mengukuhkan komitmennya terhadap tadbir urus bersih dan integriti tinggi melalui penganjuran Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perlis. Langkah proaktif ini merupakan usaha berterusan UiTM untuk memperkukuh budaya menolak amalan rasuah dalam kalangan seluruh warga kampus.
Seramai 70 orang peserta menyertai majlis ikrar tersebut, terdiri daripada Ketua Pusat Pengajian, Koordinator dan Penyelaras (lantikan akademik), serta staf pentadbiran Gred 5/29 ke atas yang mewakili pelbagai skim perkhidmatan di UiTM Cawangan Perlis.

Majlis tersebut disaksikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor, Rektor UiTM Cawangan Perlis, dan YBrs. Tuan Mohd Nor Adha Ab. Ghani, Pengarah SPRM Perlis, bersama barisan Jawatankuasa Eksekutif UiTM Cawangan Perlis.
Sebelum lafaz ikrar IBR, para peserta telah mengikuti sesi ceramah bertajuk “Integriti Dipertahan, Rasuah Diperangi” yang disampaikan oleh YBrs. Encik Mohd Faiq Hussin dari SPRM Perlis. Ceramah ini menekankan kepentingan nilai integriti serta peranan warga organisasi dalam memastikan pentadbiran yang telus, berakauntabiliti, dan bebas daripada sebarang bentuk salah laku rasuah.
Penganjuran majlis ini menggambarkan komitmen berterusan dan tidak berbelah bahagi UiTM Cawangan Perlis untuk mendukung usaha kerajaan dan SPRM dalam memperkukuh amalan tadbir urus yang bersih. Ia selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan warga kerja yang berintegriti tinggi, amanah, dan beretika dalam semua urusan rasmi.
