UiTM Dengkil Jayakan Program IndustryXplore 2025: Perkasa Belia Digital dan Semai Semangat Kenegaraan

DENGKIL, SELANGOR – 4 Oktober 2025 – Program berimpak tinggi IndustryXplore: Student Digital Industry Tour @ Pusat Asasi UiTM Dengkil telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Kuliah 1, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil. Program ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara ICAN Pusat Asasi UiTM, MASMED UiTM, Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) di bawah Pejabat Perdana Menteri, serta Maxis Malaysia Berhad.

Inisiatif ini bertujuan memperkasakan pelajar dan alumni dengan kemahiran digital serta pengetahuan keusahawanan yang selari dengan keperluan industri semasa. Selain itu, program ini turut menyemai nilai kenegaraan dalam kalangan generasi muda agar bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga prihatin terhadap tanggungjawab sosial dan pembangunan negara.

Seramai 257 peserta terdiri daripada pelajar aktif Pusat Asasi UiTM Dengkil dan barisan alumni telah menyertai program ini. Kehadiran alumni memberi inspirasi kepada pelajar baharu melalui perkongsian pengalaman kerjaya dan perjalanan mereka dalam bidang keusahawanan digital.

Program dimulakan dengan sesi Kenegaraan Interaktif yang dikendalikan oleh Encik Sulhairil Hafiz Sulaiman dan Encik Ardi Putra dari AKM, menekankan aspek jati diri dan semangat patriotisme melalui aktiviti kuiz dan simulasi. Seterusnya, peserta mengikuti Latihan Digital eKelas Usahawan oleh Encik Hisham Talib dari Maxis Malaysia, yang memperkenalkan platform digital keusahawanan serta latihan praktikal menggunakan aplikasi pemasaran dan pengurusan perniagaan digital.

Turut hadir memberi sokongan ialah Profesor Dr. Muhammad Husain Ismail, Pengarah Pusat Jaringan Industri (INC) UiTM Shah Alam, yang menyatakan komitmen UiTM dalam memperkukuh hubungan antara akademia dan industri.

Program ini menerima maklum balas positif daripada peserta, dengan 96% menyatakan tahap kepuasan tinggi terhadap pelaksanaannya. Kandungan interaktif dan relevan dengan keperluan industri masa kini telah membuka peluang kepada pelajar untuk memahami bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan dalam memulakan perniagaan sendiri.

Penganjur merakamkan penghargaan kepada Maxis Malaysia dan AKM atas kerjasama strategik dalam menjayakan program ini. IndustryXplore bukan sekadar lawatan ilmiah, tetapi menjadi platform pembentukan generasi belia digital yang berwawasan dan berjiwa kenegaraan. UiTM Dengkil berharap program ini dapat diteruskan sebagai agenda tahunan dalam menyokong aspirasi negara ke arah Digital Nation Malaysia 2030.