
Perak, 7 Oktober 2025 – Sempena sambutan ECOFEST UiTM Perak 2025, Jawatankuasa Kampus Hijau dengan kerjasama Pulau Banding Foundation telah menganjurkan program “Leafy Offices 2.0: Pejabat Bernafas – Tumbuhan & Kompos Untuk Ruang Kerja Sejahtera” yang dikendalikan oleh Unit 2: Green Office. Program ini telah berlangsung pada 3 Oktober 2025 bertempat di Dewan Kuliah Al-Khawarizmi, UiTM Cawangan Perak.
Bengkel ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kualiti udara dalaman (Indoor Air Quality – IAQ) di ruang kerja serta impaknya terhadap kesihatan, produktiviti dan kesejahteraan warga kerja. Antara topik yang dibincangkan termasuk peranan tumbuhan dalaman dalam menyerap karbon dioksida, menghasilkan oksigen dan menapis bahan pencemar seperti formaldehid, benzene dan sebatian organik meruap (VOCs). Bengkel ini turut memberi panduan tentang jenis tumbuhan yang sesuai untuk ruang pejabat, keperluan asas penjagaan seperti cahaya dan kelembapan, serta pemilihan media tanaman yang efektif dari segi saliran, pengudaraan, nutrien dan pH tanah.


Seramai 68 peserta telah menyertai bengkel ini, terdiri daripada wakil pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) UiTM serta agensi luar sekitar Perak Tengah seperti Institut Pertanian Titi Gantung, Akademi Bomba dan Penyelamat Daerah Utara, JKR Perak Tengah, Pejabat Kesihatan Daerah Perak Tengah, SK Seri Iskandar, Kolej Vokasional Seri Iskandar dan Persatuan Suri Rumah Rahmah.
Program ini dibahagikan kepada dua sesi ceramah utama. Sesi pertama disampaikan oleh Puan Intan Bayani Zakaria bertajuk “Tumbuhan di Pejabat: Penapis Udara Semula Jadi Anda”, manakala sesi kedua oleh Dr Slawa Ayob dengan tajuk “Penggunaan Baja Kompos untuk Tanaman Dalaman Pejabat”. Sepanjang sesi berlangsung, peserta turut berpeluang memenangi cabutan bertuah.
Sebagai nilai tambah, peserta berpeluang melawat dan membeli pelbagai tumbuhan hiasan dalaman yang dijual oleh dua pembekal tempatan di foyer Bangunan Ukur Bahan. Dari sudut estetika, tumbuhan dalaman bukan sahaja memperindah ruang kerja, malah mewujudkan suasana yang lebih segar dan menyenangkan, sekali gus meningkatkan imej pejabat dan kepuasan pekerja.
Program ini merupakan langkah proaktif Unit 2: Green Office dalam memperkasa persekitaran kerja yang sihat dan lestari, selaras dengan aspirasi UiTM untuk mempromosikan amalan hijau dan kesejahteraan warga kampus. Jawatankuasa Kampus Hijau UiTM Cawangan Perak merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini dan menyemarakkan sambutan ECOFEST UiTM Perak 2025.
