Program Fly High Fun Run 2.0 2025

Arau, 3 Oktober 2025 – Sekolah Kebangsaan Tengku Budriah dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah berjaya menganjurkan Program Fly High Fun Run 2.0 2025 yang berlangsung dengan meriah di Padang Kawad UiTM Cawangan Perlis bermula jam 7.30 pagi.

Acara pelepasan peserta telah disempurnakan oleh YBrs. Wan Mohd Yaseer Mohd AbdohTimbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Perlis, yang hadir mewakili YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor, Rektor UiTM Cawangan Perlis. Dalam ucapan beliau, YBrs. Wan Mohd Yaseer menzahirkan penghargaan kepada pihak sekolah serta warga UiTM atas kerjasama erat yang diberikan dalam menjayakan penganjuran program tersebut.

Edisi kedua program ini telah menarik penyertaan lebih 800 orang peserta terdiri daripada pelajar, guru, warga universiti serta komuniti setempat. Suasana ceria dan penuh semangat jelas terpancar apabila para peserta menamatkan larian yang bukan sahaja menguji kecergasan fizikal, malah turut memperkukuh nilai disiplin, kesabaran dan semangat berpasukan.

Secara keseluruhannya, Program Fly High Fun Run 2.0 2025 telah mencapai objektif penganjurannya iaitu untuk memupuk budaya hidup sihat, meningkatkan semangat kesukanan, serta mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak sekolah, warga UiTM dan masyarakat sekitar.

Sebagai penutup, pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penaja, peserta dan sukarelawan yang telah menjayakan program ini. Diharapkan penganjuran seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pendidikan dan komuniti setempat serta melahirkan generasi yang aktif, sihat dan berdaya saing.