
SERI ISKANDAR, 18 Ogos 2025 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Perak telah menjadi tuan rumah kepada Majlis Pelancaran Buku Digital dan sesi Book Talk bagi buku Travelog Jelajah Kota Medan, Indonesia, hasil dokumentasi pengalaman pelajar semasa menyertai program mobiliti antarabangsa The International Summer Course Architecture (ISCA) USU 2023 di Medan, Indonesia pada 2 Julai 2025.
Majlis yang berlangsung di ruang Library Community Engagement ini dirasmikan oleh Prof. Madya Sr. Dr. Mohd Azian Zaidi, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, UiTM Cawangan Perak. Turut hadir memeriahkan majlis ialah tetamu kehormat dari Universitas Sumatera Utara (USU), Prof. Madya Dr. Isnen Fitri bersama tiga orang mahasiswa USU, serta barisan pengurusan UiTM termasuk Puan Hajah Siti Basriyah binti Shaik Baharudin, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan PTAR dan Mohd Shahril bin Abd Rashid, Ketua Kepimpinan Pelajar Kampus Seri Iskandar & Tapah.
Buku ini merupakan hasil kolaborasi antara pensyarah dan pelajar UiTM Cawangan Perak, antaranya Dr. Lim Seng Boon (Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi), Noradzsyiah Adzhar dan Hadif Azwar Hasnizam (pelajar Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah). Ia memuatkan lebih 150 halaman esei, catatan reflektif, dokumentasi visual dan ulasan akademik berkaitan sejarah, seni bina dan perancangan bandar Medan.
Sesi Book Talk menyaksikan perkongsian pengalaman oleh para penulis dan penyunting termasuk En. Mohd Shahril Abd Rashid serta Prof. Madya Dr. Isnen Fitri selaku penganjur ISCA2023. Antara topik yang dibincangkan termasuk cabaran penyesuaian budaya, kaedah pengumpulan data sejarah bandar, serta pendekatan penulisan akademik-visual. Sesi soal jawab turut membuka ruang wacana dan inspirasi kepada hadirin.
Menurut Dr. Lim Seng Boon, penerbitan ini bukan sekadar rakaman pengalaman, malah menjadi medium ilmiah yang memperkasa ekspresi kreatif dan reputasi UiTM Perak Press. Prof. Madya Dr. Isnen Fitri pula memuji kerjasama erat antara UiTM dan USU serta menekankan kepentingan program mobiliti dalam memperluas horizon pelajar.
Majlis diakhiri dengan ucapan penutup oleh TPr Dr. Kushairi Rashid, Ketua Pusat Pengajian, Jabatan Pengajian & Teknologi Alam Sekitar Bina. Beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis yang bukan sahaja berinformasi, malah memperkukuh hubungan akademik antarabangsa.
Dengan pelancaran Travelog Jelajah Kota Medan, UiTM Perak Press menegaskan komitmennya dalam menyokong budaya ilmu, penulisan akademik dan kreativiti warga kampus, serta terus menjadi peneraju dalam penerbitan ilmiah berimpak tinggi.
Penyunting: Dr Lim Seng Boon
