
Kuala Pilah, 23 Oktober 2025 – Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), UiTM Cawangan Negeri Sembilan telah menganjurkan Kejohanan Catur Minangkabau bertempat di Dewan Anjung, Kampus Kuala Pilah pada 11 Oktober 2025. Acara yang berlangsung dengan penuh semangat ini telah menarik penyertaan seramai 183 peserta daripada pelbagai peringkat usia.
Bertemakan “Warisan Dijaga, Strategi Dibina”, kejohanan ini bertujuan mencungkil bakat baharu dalam sukan catur, menggalakkan pemikiran logik dan strategik, serta membina disiplin dan daya fokus dalam kalangan pelajar dan masyarakat setempat. Ia turut menjadi platform integrasi antara UiTM, sekolah-sekolah daerah Kuala Pilah serta komuniti pencinta catur di Negeri Sembilan.
Majlis perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh Dr. Rashidah Ibrahim, Penyelaras Kepimpinan Pelajar yang mewakili Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Negeri Sembilan. Turut hadir memeriahkan majlis ialah penaja utama, Dr. Amil Abd Latif daripada Klinik Arafah.
UiTM Cawangan Negeri Sembilan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penaja dan penyumbang yang telah menjayakan kejohanan ini, termasuk Milenia Mortgage Resources, Yang Berhormat Dato’ Hj. Adnan bin Hj. Abu Hassan (Ahli Parlimen Kuala Pilah), Didik Catur, Budi Luhur Resources, SK Resources Sdn. Bhd., serta Murni Cendol and Coconut Shake.

Kejohanan ini menampilkan empat kategori utama iaitu Bawah 12 Lelaki, Bawah 12 Perempuan, Bawah 17 Lelaki dan Bawah 17 Perempuan, serta lima kategori khas. Kategori Bawah 12 mencatatkan penyertaan tertinggi dengan 131 peserta, manakala kategori Bawah 17 disertai oleh 52 peserta. Pertandingan dijalankan dalam tujuh pusingan dengan kawalan masa 10 + 2 (10 minit setiap pemain dan tambahan 2 saat bagi setiap langkah).
Pemenang setiap kategori menerima wang tunai, medal dan sijil penghargaan sebagai pengiktirafan atas pencapaian cemerlang mereka. Anugerah ini bukan sahaja menjadi dorongan kepada peserta, malah mengiktiraf usaha mereka dalam menguasai seni permainan catur secara strategik dan beretika.
Maklum balas daripada peserta menunjukkan tahap kepuasan yang tinggi, dengan lebih 90% berpuas hati terhadap pengurusan kejohanan dan kemudahan yang disediakan. Menariknya, lebih 70% peserta merupakan penyertaan kali pertama, membuktikan kejohanan ini berjaya menarik minat baharu terhadap sukan catur di peringkat komuniti.
Selain pertandingan utama, suasana kejohanan turut dimeriahkan dengan kehadiran reruai jualan food truck, yang menjadi tarikan kepada pengunjung dan keluarga peserta sepanjang hari kejohanan.
Kejohanan Catur Minangkabau telah membuktikan komitmen UiTM dalam memperkukuh pembangunan minda strategik serta mempererat hubungan antara institusi dan komuniti. Penganjur bercadang untuk menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan UiTM Cawangan Negeri Sembilan bagi meneruskan tradisi kecemerlangan dan semangat kesukanan di kampus.
