
ALOR GAJAH, 29 September 2025 – Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah, mencipta sejarah dalam penyertaan sulungnya apabila diumumkan sebagai Rakan Kerjasama Terbaik National Training Week (NTW) 2025 peringkat Negeri Melaka.
Pengiktirafan berprestij ini disampaikan oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp) Cawangan Melaka. FKPM muncul sebagai penerima utama berdasarkan jumlah penganjuran kursus dan bilangan peserta tertinggi dalam kalangan 108 rakan kerjasama NTW di negeri itu, membuktikan peranan aktif fakulti dalam menjayakan inisiatif latihan kemahiran nasional.
Majlis penyampaian penghargaan berlangsung semasa program Sehari Bersama KESUMA Melaka bertemakan “Pemerkasaan Tenaga Kerja Seiring Kepesatan Teknologi”, yang diadakan di Swiss Garden Hotel Melaka. Sijil pengiktirafan disampaikan oleh Yang Berhormat Datuk Ngwe Hee Sem, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri Melaka, kepada Prof. Madya Dr. Abdul Rauf Ridzuan, Ketua Pusat Pengajian FKPM.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri Melaka, YB Datuk Siti Faizah Datuk Abdul Azis; Pengurus HRD Corp Melaka, Puan Shereen Tan Tze Yee; serta wakil daripada 12 agensi utama di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bersama rakan strategik NTW yang lain.
Meskipun ini merupakan penyertaan pertama FKPM dalam NTW, fakulti berkenaan menunjukkan keupayaan luar biasa dengan penganjuran lebih daripada 20 kursus latihan berasaskan kemahiran — dijalankan secara fizikal dan dalam talian — yang memberi impak besar kepada masyarakat setempat.
Menurut Dr. Abdul Rauf Ridzuan, kejayaan tersebut membuktikan komitmen warga fakulti terhadap pembinaan modal insan berdaya saing. “Kami amat bersyukur atas pengiktirafan ini. Ia hasil usaha kolektif seluruh pasukan FKPM yang bukan sahaja menumpukan kecemerlangan akademik, tetapi juga aktif mendukung pembangunan tenaga kerja negara melalui latihan berimpak tinggi. Penghargaan khusus buat pensyarah utama seperti Puan Noorazura Durani, Puan Siti Hajar Abd Aziz dan Dr. Siti Nurshahidah Sah Allam atas dedikasi mereka menjayakan NTW 2025,” katanya.
Beliau menambah, pencapaian ini memperkukuh reputasi FKPM UiTM Melaka sebagai institusi pendidikan tinggi yang berperanan penting dalam memperkasa ekosistem pembangunan sumber manusia serta menjadi rakan strategik utama dalam penyediaan latihan kemahiran di peringkat negeri.
Editor: Siti Hajar Abd Aziz
