East Meets West Techbridge 2025: UiTM Pahang dan HKU Tingkatkan Kolaborasi Akademik Rentas Sempadan

Raub, 24 Oktober 2025 – Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang telah berjaya menganjurkan Program Antarabangsa East Meets West Techbridge 2025: Online Webinar pada 23 Oktober 2025 (Khamis) secara dalam talian melalui platform Google Meet. Program ini merupakan hasil kerjasama strategik bersama Faculty of Engineering, Hasan Kalyoncu University (HKU), Türkiye.

Program ini merupakan kesinambungan kepada inisiatif kolaboratif antarabangsa yang bertujuan memperkukuh jaringan akademik global antara UiTM dan HKU. Ia memberi ruang kepada ahli akademik kedua-dua institusi untuk berkongsi ilmu, membentangkan hasil penyelidikan serta bertukar kepakaran dalam bidang Sains Komputer, Matematik dan Kejuruteraan.

Webinar ini menampilkan barisan penceramah dari UiTM dan HKU yang membentangkan projek inovasi dan penyelidikan terkini. Majlis turut diserikan dengan Award Ceremony bagi East Meets West Coding Competition yang telah berlangsung pada 21 Oktober 2025 (Selasa), menggunakan bahasa pengaturcaraan C++ sebagai medium utama. Pertandingan ini berjaya mencungkil kreativiti dan kemahiran penyelesaian masalah dalam kalangan pelajar dari kedua-dua institusi.

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Profesor Madya Dr. Nazirah binti Ramli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, UiTM Cawangan Pahang dan Professor Dr. Hanifi Çanakçı, Dekan Faculty of Engineering, HKU. Dalam ucapannya, Dr. Nazirah menzahirkan penghargaan atas dedikasi dan komitmen kedua-dua pihak dalam menjayakan program ini.

“Inisiatif ini merupakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh kerjasama akademik antara UiTM dan Hasan Kalyoncu University. Ia amat membanggakan apabila melihat bagaimana perkongsian ini terus berkembang, menghimpunkan pakar dan sarjana dari kedua-dua institusi untuk berkongsi ilmu, idea dan inovasi,” ujar beliau.

Program East Meets West Techbridge 2025 diharap dapat membuka lebih banyak peluang kolaborasi dalam bidang akademik, penyelidikan dan inovasi global. Ia bukan sahaja menjadi jambatan ilmu antara dua institusi, malah simbol komitmen bersama dalam memperkasa pendidikan tinggi berteraskan kerjasama rentas sempadan.

UiTM terus membuktikan keupayaannya sebagai institusi yang proaktif dalam menghubungkan komuniti akademik antarabangsa, memperluas jaringan kepakaran dan melahirkan generasi ilmuwan global yang kreatif, progresif dan berdaya saing.