UiTM Panda Raih Tempat Ketiga Keseluruhan di Kejohanan MIVG 2025

KUALA LUMPUR, 21 September 2025 – Kontinjen UiTM Panda dari Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengharumkan nama universiti apabila berjaya meraih tempat ketiga keseluruhan dalam Kejohanan Medics Intervarsity Games (MIVG) 2025, yang berlangsung dalam dua fasa pada bulan September. Kejohanan ini dianjurkan oleh Asian Medical Students’ Association (AMSA) bersama UKM, Taylor’s University, dan UNIMAS, menghimpunkan pelajar perubatan dari pelbagai institusi pengajian tinggi.

Dengan membawa semangat dan identiti melalui motto “Awakening of the Panda”, kontinjen UiTM Panda telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam 12 kategori pertandingan, merangkumi e-sukan seperti Mobile Legends: Bang Bang, PUBG Mobile, dan Catur Dalam Talian, serta sukan fizikal seperti Aerodance, Bola Sepak, Futsal, Badminton, Frisbee, Renang, Ping Pong, Olahraga, dan Bola Tampar.

Pertandingan e-sukan berlangsung pada 13 dan 14 September, manakala acara sukan fizikal diadakan selama tiga hari pada 19 hingga 21 September 2025, bertempat di Kuala Lumpur Sports Arena, Kampus UKM Bangi, dan Taylor’s University. Hasil usaha gigih dan semangat berpasukan yang tinggi, UiTM Panda berjaya membawa pulang 3 pingat emas, 4 pingat perak, dan 7 pingat gangsa, sekali gus menempatkan UiTM di kedudukan podium antara universiti yang bertanding.

Kejayaan ini turut disokong oleh dedikasi para penyelia dan penasihat kontinjen yang memainkan peranan penting dalam membimbing para atlet sepanjang kejohanan. Ucapan penghargaan khas diberikan kepada Jantzen Water atas sokongan berterusan dalam memastikan para atlet kekal bertenaga dan terhidrasi sepanjang pertandingan.

Kontinjen UiTM Panda telah membuktikan bahawa kesatuan, ketekunan dan semangat juang adalah kunci kepada kecemerlangan. Tahniah diucapkan kepada semua atlet dan pasukan sokongan yang telah berjaya mengangkat nama UiTM di pentas MIVG 2025.