
DENGKIL, 29 Ogos 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Dengkil telah menerima kunjungan delegasi seramai 214 orang guru dan pelajar dari Madrasah Aliyah Perguruan Islam Ar Risalah, Padang, Indonesia dalam Program Kembara Ilmu & Ukhuwah yang berlangsung pada 26 dan 28 Ogos 2025. Program ini bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara institusi pendidikan melalui perkongsian ilmu, pengenalan budaya akademik, dan pemupukan ukhuwah.
Majlis sambutan dimulakan dengan persembahan Silat Tempur Berantai oleh Kelab Kebudayaan Seni Silat Melayu Pusat Asasi, di bawah seliaan Cik Sri Fitriaty Mohd Kenali, diikuti dengan Tarian Inang Mendam Berahi oleh kumpulan ASiD Elitari yang diselia oleh Puan Rasyiqah Batrisya Md Zolkapli. Tayangan video pengenalan kampus turut dipersembahkan bagi memberi gambaran menyeluruh tentang suasana pembelajaran di UiTM Dengkil.

Delegasi turut diberi peluang mengikuti sesi perkongsian ilmu daripada tiga penceramah utama: Puan Fatimah Azzahra Md Raus yang memperkenalkan struktur dan fungsi Pusat Asasi UiTM; Dr. Noor Syahida Md Soh yang menekankan kepelbagaian aktiviti pelajar dalam membina sahsiah; serta Encik Norhisham Ya’cob yang menyampaikan ceramah bertajuk “Universiti sebagai Jambatan Masa Depan”, memberi inspirasi kepada para pelajar tentang peranan pendidikan tinggi dalam membentuk masa depan yang cemerlang.
Program ini berjaya mencapai objektifnya dalam memperluas pengalaman dan pengetahuan para peserta, serta membuka ruang kerjasama strategik antara UiTM Dengkil dan Madrasah Aliyah Ar Risalah. Delegasi turut menyerahkan draf awal Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai langkah awal ke arah jalinan rasmi yang bakal dimanfaatkan pada masa hadapan.
Majlis penutup diserikan dengan sesi penyampaian cenderahati dan sesi bergambar sebagai tanda penghargaan dan kenangan bersama. Kejayaan program ini membuktikan bahawa perkongsian dan jaringan pendidikan rentas sempadan mampu memperkaya ilmu, membina sahsiah dan menyemai persahabatan antara institusi, selaras dengan aspirasi UiTM sebagai peneraju pendidikan tinggi yang inklusif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Penyunting: Sri Fitriaty Mohd Kenali
