UiTM dan Universitas Brawijaya Meterai MoA Perkukuh Kerjasama Akademik Serantau

SHAH ALAM, 7 Ogos 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) telah melakar satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh jaringan akademik serantau melalui Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Universitas Brawijaya, Indonesia. Majlis bersejarah ini telah berlangsung di Ruang Legar Aras 7, Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam.

Majlis pertukaran MoA ini menandakan permulaan rasmi kerjasama dua hala antara kedua-dua institusi dalam bidang pendidikan dan penyelidikan. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), YBrs. Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi; Dekan FSPPP, YBrs. Prof. Dr. Nor Hafizah Mohamed Harith; Dekan Fakulti Sains Sosial dan Politik Universitas Brawijaya, YBrs. Dr. Ahmad Imron Rozuli; serta Ketua Jabatan Sosiologi, YBrs. Prof. Dr. Ali Maksum.

MoA ini bertujuan memperkukuh kerjasama akademik yang melibatkan pertukaran kepakaran, penyelidikan bersama, dan mobiliti pensyarah serta pelajar dari kedua-dua institusi. Usaha ini selaras dengan visi dan misi UiTM untuk memperluas prospek kolaborasi strategik yang mampu mempertingkatkan kualiti penyelidikan dan memperkayakan pengalaman akademik secara global.

Kerjasama ini diyakini akan memberi impak positif terhadap peningkatan penerbitan ilmiah, pembangunan modal insan serta pengukuhan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar. Ia turut menyokong perancangan strategik universiti dalam mempertingkatkan kebolehpasaran graduan melalui penguasaan komunikasi berkesan, keyakinan diri dan potensi kepimpinan.

Majlis ini menjadi simbolik kepada komitmen berterusan UiTM dalam memperkukuh hubungan antarabangsa dan memperluas jaringan akademik serantau, selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi peneraju pendidikan tinggi yang berdaya saing di peringkat global.