UiTM Cawangan Pahang Perkasa Pendidikan STEM dan Biodiversiti Bersama Komuniti Orang Asli

BANDAR JENGKA, 22 Ogos 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang melalui Pusat Pengajian Sains, Fakulti Sains Gunaan telah menganjurkan program pendidikan biodiversiti dan latihan amali mikrosains bersama komuniti pelajar orang asli dari Kuala Krau, Pahang. Program ini dilaksanakan dalam dua fasa, bermula dengan sesi latihan praktikal pada 3 dan 4 Julai 2025 di Kampus Jengka, diikuti dengan sesi ceramah dan perbincangan pada 16 Julai 2025 bersama pelajar tingkatan satu dan dua dari Sekolah Kebangsaan Penderas (JHEOA), Kuala Krau.

Sekolah Kebangsaan Penderas merupakan institusi pendidikan luar bandar yang menjadi pusat pembelajaran utama bagi komuniti orang asli Kampung Penderas. Dengan jumlah pelajar seramai 366 orang, termasuk 104 pelajar menengah, pihak sekolah komited menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta akses kepada pendidikan berkualiti. Usaha ini bertujuan memperkasa komuniti orang asli agar lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan dan mampu mengenal pasti potensi diri secara menyeluruh.

Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 15: Kehidupan di Darat), program ini memberi penekanan kepada pemahaman asas biodiversiti dan kepentingan pemuliharaan alam semula jadi. Ilmu mikrobiologi telah diketengahkan sebagai fokus utama, di mana para pelajar diberi pendedahan tentang peranan mikroorganisma dalam kehidupan manusia serta aplikasinya dalam pelbagai industri. Mereka turut menjalani latihan amali mengkultur bakteria dan mencerap hasil pengkulturan secara langsung, melalui sesi teori, praktikal, perbincangan dan soal jawab yang dirangka secara komprehensif.

Pendekatan hands-on ini telah berjaya memupuk minat pelajar terhadap bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), di samping meningkatkan kemahiran berfikir dan penguasaan ilmu sains. Program ini juga berperanan sebagai medium promosi kepada Program Biologi dan Biodiversiti UiTM, khususnya di Kampus Jengka, serta memperluas jaringan kerjasama antara universiti dan komuniti setempat.

Dengan tema “Biodiversiti dan Mikrosains”, program ini telah memberi impak positif terhadap pembangunan sahsiah pelajar, membentuk semangat menjaga kelestarian sumber semula jadi dan memupuk kecintaan terhadap alam sekitar dalam kalangan generasi muda. Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Pahang komited untuk meneruskan inisiatif seumpama ini sebagai usaha berterusan memperkasa komuniti dan menyumbang kepada pembangunan modal insan negara.