
SURAKARTA, 14 Ogos 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh jaringan akademik serantau apabila dijemput mengendalikan bengkel teknologi pembelajaran imersif di Universitas Terbuka (UT) Surakarta, Indonesia. Bengkel ini dianjurkan sebagai sebahagian daripada projek geran penyelidikan bersama antara UiTM dan Universitas Terbuka, dengan fokus kepada pembangunan makmal maya berasaskan teknologi 360°.
Delegasi UiTM diketuai oleh Dianna Suzieanna Mohamad Shah bersama dua ahli kumpulan Collaborative Group 360-Degree Video-Based Learning, CIDL UiTM, iaitu Mohamad Safwat Ashahri Mohd Salim dan Mohd Nur Fitri Mohd Salim. Mereka telah membentangkan perkongsian bertajuk “Enhancing VirLab with 360° Video Technology”, yang memperkenalkan pendekatan inovatif dalam pembinaan makmal maya (VirLab) menggunakan kamera 360°, sama ada melalui peralatan khas mahupun telefon pintar.


Kehadiran delegasi UiTM disambut mesra oleh Pengarah UT Surakarta, Ibu Dra. Yulia Budiwati, yang turut menyampaikan cenderamata sebagai tanda penghargaan. Bengkel ini turut menghimpunkan pensyarah dari Fakulti Keguruan dan Ilmu Pendidikan (FKIP UT), tenaga akademik dari Unit Program Belajar Jarak Jauh (UPBJJ) UT Surakarta, serta guru-guru dari SMAIT Ibnu Sienna Mulia, Kota Tasikmalaya dan MTs Subulus Salam, Kabupaten Grobogan, Jawa Barat.
Sepanjang bengkel, peserta didedahkan kepada teknik penghasilan makmal maya yang boleh dimanfaatkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, khususnya dalam bidang sains dan kimia. Hasil bengkel menyaksikan pembangunan projek VirLab bertemakan kampus UT Solo yang berpotensi menjadi sumber rujukan pembelajaran digital.
Inisiatif ini menandakan komitmen berterusan UiTM melalui Centre for Innovative Delivery & Learning Development (CIDL) dalam memperkenalkan pendekatan baharu pembelajaran berasaskan teknologi serta memperkukuh kerjasama akademik antara Malaysia dan Indonesia. Usaha ini selari dengan aspirasi UiTM untuk menjadi peneraju inovasi pendidikan dan memperluas impak global dalam bidang pengajaran dan pembelajaran.
