
KLANG, 29 Ogos 2025 – Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah berjaya menganjurkan Program Warga Emas Celik Digital bertempat di Kampung Budiman, Selangor pada 30 Jun 2025. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang bertujuan memperkasa literasi digital dalam kalangan warga emas.
Seramai peserta warga emas telah menyertai bengkel interaktif yang dikendalikan oleh mahasiswa Sarjana Muda Sistem Maklumat (Kepujian) Kejuruteraan Sistem Maklumat (CDCS266) dan Pengkomputeran Perniagaan (CDCS264). Bengkel ini memperkenalkan penggunaan aplikasi mudah alih seperti Google Calendar untuk pengurusan jadual harian dan TikTok sebagai medium komunikasi sosial serta ekspresi kreatif. Bimbingan praktikal turut diberikan bagi membantu peserta menguasai fungsi asas peranti pintar.

Ketua Kampung Budiman, En. Imran Khairon, turut menyertai bengkel dan meluahkan keterujaannya terhadap manfaat yang diperoleh. “Sebelum ini saya hanya menggunakan WhatsApp, tetapi kini saya tahu cara menetapkan peringatan dalam Google Calendar untuk urusan pentadbiran dan mesyuarat bersama komuniti,” ujarnya.
Pensyarah penyelaras program, PM Dr. Natrah Abdullah, menyatakan bahawa inisiatif ini memberi impak dua hala. “Warga emas memperoleh keyakinan baharu dalam penggunaan teknologi, manakala pelajar mendapat pengalaman berharga dalam menyampaikan ilmu kepada komuniti secara langsung,” katanya.
Program ini membuktikan bahawa kolaborasi antara institusi pendidikan dan komuniti mampu menghasilkan impak sosial yang berpanjangan. Selaras dengan aspirasi negara ke arah pembentukan masyarakat digital yang inklusif, inisiatif seperti ini diharap dapat diperluaskan ke lebih banyak komuniti di seluruh negara, sekali gus merapatkan jurang digital antara generasi.
Penulis: Prof. Madya Dr. Natrah Abdullah (Editor: Afdallyna Harun & FSKM News Team)
