
DENGKIL, 23 Ogos 2025 – Seramai lebih 40 murid PASTI Al-Hidayah, Dengkil, Selangor telah menyertai Program The Alpha Explorers 1.0 (TAE) yang dianjurkan oleh Kelab Dengkil Impact dan Akademi Pengajian Bahasa (APB), Pusat Asasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Dengkil dengan kerjasama pihak pengurusan PASTI. Program ini bertujuan memperkasakan kemahiran asas Bahasa Inggeris melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif, menyeronokkan dan berkesan.
Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari ini memberi penekanan kepada penguasaan kosa kata asas Bahasa Inggeris melalui aktiviti lagu dan permainan yang dirangka khas untuk kanak-kanak. Menurut Pengarah Program, Aris Wan Mizan, inisiatif ini bukan sahaja membantu murid memahami Bahasa Inggeris dengan lebih mudah, malah turut memupuk nilai-nilai murni seperti kasih sayang, hormat kepada ibu bapa dan sikap bersyukur yang disampaikan melalui lirik lagu berunsur pendidikan Islam.
“Pendekatan ini membolehkan murid bukan sekadar belajar bahasa, tetapi turut menghayati nilai-nilai positif yang berteraskan ajaran Islam sejak awal usia. Kami berharap usaha ini memberi kesan positif kepada perkembangan holistik mereka,” ujar beliau.

Selain memberi manfaat kepada murid-murid PASTI, program ini turut membuka ruang kepada pelajar Pusat Asasi UiTM untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti komuniti. Penglibatan ini membolehkan mereka mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan dan empati, selaras dengan aspirasi UiTM untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga aktif menyumbang kepada masyarakat.
Program ini disambut baik oleh warga PASTI Al-Hidayah. Penyelaras PASTI, Puan Nur Saiyidatul Hasnaini binti Mustangin, menyatakan penghargaan kepada UiTM atas usaha murni tersebut. “Kami sangat gembira dengan pengisian program yang menyeronokkan dan bermanfaat. Murid-murid bukan sahaja belajar Bahasa Inggeris, tetapi juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan generasi muda,” katanya.
UiTM terus komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi yang menyokong pembangunan komuniti, sejajar dengan misi universiti untuk memperkasa masyarakat melalui ilmu, nilai dan amalan terbaik.
